F Kita Telah Ke Belakang - Liyana Jasmay | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Kita Telah Ke Belakang - Liyana Jasmay

KEBANGKITAN muzik era 1990-an membuatkan segelintir penyanyi pada hari ini memilih untuk tampil dengan melodi itu kerana ia mendapat sambutan baik daripada pendengar.

Namun lain pula bagi pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay apabila dia melihat senario itu hanya merugikan selain akan menyebabkan industri muzik tempatan ketinggalan.

Hadir dengan single terbaharunya berjudul Oh Na Na awal tahun ini, Liyana berkata, dia tidak mahu mengikut trend tersebut sebaliknya tampil dengan muzik semasa dan urban.

"Saya tahu cita rasa pendengar sekarang gemarkan muzik 80-an dan 90-an tetapi tanpa disedari kita telah ke belakang dan bukan sebaliknya.

"Oh Na Na memang urban walaupun ada merasakan ia tidak sesuai tetapi saya percaya dengan pilihan itu.

"Sebagai artis saya tidak mahu ke belakang, jika kita terus menerus dengan benda yang sudah berlalu sampai bila pun kita tidak akan maju," katanya .

Bagaimanapun kata Liyana, itu tidak bererti ia satu kesalahan untuk mengembalikan muzik lama dan ia sebenarnya adalah atas pilihan masing-masing.

Malah dia juga bersyukur, Oh Na Na mendapat perhatian pendengar dan rata-rata memberikan reaksi positif apabila lagu itu dilancarkan.

"Lagu Oh Na Na itu sebenarnya bukan cita rasa pendengar Melayu tetapi saya bersyukur orang sukakan lagu itu.

"Saya tahu lagu itu popular kerana setiap kali saya keluar orang akan panggil saya Oh Na Na," katanya.

Bercakap mengenai lakonan, Liyana berkata, dia rindu untuk kembali berlakon namun kekangan masa membuatkan dia terpaksa menolak banyak tawaran.

Katanya, tempoh masa yang agak panjang dilokasi penggambaran membuatkan dia takut untuk memberikan komitmen memandangkan dia juga terikat dengan perkara lain.

"Saya memang rindu sangat hendak berlakon tetapi apabila diberi tawaran saya jadi takut sebab tempoh penggambaran sampai 200 hari!

"Bukan apa selain memberi keutamaan kepada suami dan anak-anak, saya juga banyak perkara lain perlu diuruskan dan agak sukar untuk membahagikan masa," katanya.

Kata Liyana, syarikat produksinya, Mermaid Studios bakal melancarkan filem terbitan pertamanya yang berjudul Bella & Jamie yang dijangka ditayangkan di pawagam pada penghujung tahun ini.

Malah dia akan melancarkan single terbaharunya iaitu sebuah lagu KRU yang dinyanyikan semula sebagai lagu tema filem itu.

"Apa lagunya rahsia! Tetapi saya memang teruja dengan projek baharu ini dan Insya-Allah filem ini akan ditayangkan pada penghujung tahun ini," katanya.
ot;1" />
Powered by Blogger.