F Karl Shafek terharu dapat pengiktirafan | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Karl Shafek terharu dapat pengiktirafan

PELAKON dan pengacara terkenal Karl Shafek, 37, antara penerima Ikon Belia Anak Pekan dalam kategori anak seni pada majlis anjuran Kelab Anak Wawasan Pekan, Pahang (KAWAN) yang berlangsung di Seri Perdana, Selasa lalu.

Majlis penyerahan sijil dan plak kepada seramai 15 penerima membabitkan anak jati Pekan, Pahang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Karl atau nama sebenarnya, Khairul Shafek Ibrahim berkongsi berita itu di laman sosial Instagramnya:

“Alhamdulillah. Sebagai seorang anak Pekan, dengan rasa rendah diri dan sudah tentu saya amat berbesar hati dan berbangga dengan pengiktirafan sebagai salah seorang Belia Anak Pekan.

“Terima Kasih Perdana Menteri, Datuk Seri @najib_razak dan Kelab Anak Wawasan Pekan (KAWAN) di atas penghargaan ini. Tidak pernah saya mengharapkan gelaran mahupun hadiah berupa ini, namun, ianya menjadikan saya lebih bersemangat untuk terus maju dan sentiasa menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk mencapai kejayaan dengan penuh iltizam demi kedaulatan agama, bangsa dan negara. Amin, Insya-Allah,”.

Sementara itu, ketika dihubungi Harian Metro, pengacara program CJ Wow Shop ini mengakui dia berasa terharu dengan pengiktirafan yang diberikan itu.

“Alhamdulillah, ia juga antara pengiktirafan tertinggi yang diterima sepanjang lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni tanah air. Sebagai ikon, saya juga akan terus menjalankan tanggungjawab sosial dengan memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan belia di negara ini.

“Pada masa sama, saya dan penggiat seni lain akan berusaha untuk terus memartabatkan industri seni tanah air ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Kelab KAWAN ditubuhkan pada 2002 dan dinaungi Perdana Menteri sendiri. Setakat ini, ia dianggotai lebih 12 ribu anak jati Pekan yang berada di Kuala Lumpur dan perantauan.
ot;1" />
Powered by Blogger.