Berita Terkini
recent

Kalau nak mati saing-saing...

"Kalau nak mati saing-saing...antara jenaka yang pernah diungkapkan Allahyarham Maimunah Abd Wahab, 52, kepada suaminya Jamaludin Chemin, 56, sebelum keduanya maut selepas terlibat kemalangan membabitkan lima kenderaan di KM59 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, malam tadi.

Ibu saudara Jamaludin, Mardiah Husin, 56, berkata, suami isteri berkenaan merupakan pasangan yang sangat ceria dan hasil perkahwinan mereka memiliki enam orang anak.

Katanya, Maimunah seorang isteri yang sangat menyayangi suaminya malah dikalangan keluarga dan rakan-rakan mereka juga sudah tidak hairan apabila melihat pasangan tersebut mempamerkan kasih sayang setiap hari.

"Mereka memang pasangan yang ceria dan tidak seperti pasangan lain. Kemesraan dan kasih sayang mereka dapat dilihat jelas bila hendak keluar dia bersalam dengan suaminya, bercium pipi.

"Pernah arwah berseloroh kalau nak mati sama-sama. Tak sangka pula ajal mereka bersama," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga Jamaludin di Felda Penggeli Timur, disini hari ini.

Mardiah berkata, dia dimaklumkan ketika kejadian pasangan berkenaan bersama tiga anaknya dalam perjalanan untuk ke rumah kakak Maimunah di Felda Air Tawar 2 untuk beraya.


Menurutnya, dia difahamkan selepas beraya di Felda Air Tawar 2, keluarga berkenaan sepatutnya ke Sekolah Seni Johor Bahru untuk menghantar barang kepada anak bongsu mereka yang menuntut di tingkatan empat.

"Mereka sekeluarga menaiki Perodua Axia baru beberapa bulan dibeli milik anaknya yang bekerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

"Kami difahamkan dua daripada anaknya kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala seorang lagi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) akibat cedera parah dialami," katanya lagi.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu pasangan suami isteri berkenaan maut manakala 10 lagi cedera selepas terlibat kemalangan membabitkan lima kenderaan di KM59 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, berhampiran Felda Air Tawar 2 malam tadi.

Jenazah pasangan berkenaan selamat dikebumikan di kira-kira jam 10 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Felda Penggeli Timur.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.