Berita Terkini
recent

JPJ kemalangan kejar kereta klon

Sebuah kenderaan pacuan empat roda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbabit kemalangan dengan empat kenderaan lain ketika mengejar sebuah kereta klon di Kawasan Perindustrian Arab-Malaysia di sini, petang tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan, berkata, tiga anggota yang sedang membuat rondaan telah melihat sebuah Honda Stream dalam keadaan mencurigakan sebelum mengekorinya.

"Anggota kemudian telah mengarahkan kereta itu berhenti, namun pemandunya enggan berbuat demikian dan cuba melarikan diri.

"Keadaan itu mengakibatkan berlaku perlanggaran dengan kenderaan lain yang keseluruhan membabitkan lima kenderaan termasuk kenderaan JPJ yang mengejarnya,"katanya.

Menurutnya, suspek berusia 30-an tidak mengalami kecederaan dan telah menyerah diri, manakala hanya seorang pemandu wanita yang cedera ringan.

Azrin berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kereta terbabit menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain dan tiada rekod nombor casis.

"Kita percaya kereta itu adalah kenderaan klon. Anggota JPJ yang terbabit dalam kemalangan itu sudah membuat laporan polis dan mereka semua tidak cedera.

"Pada masa sama kita akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kereta klon berkenaan," katanya.
Powered by Blogger.