F 'Jerat' hati penonton | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

'Jerat' hati penonton

Berikutan sambutan menggalakkan ketika drama Seharum Rindu bersiaran di TV1 tahun lalu, penerbitnya, Yaya Abu Bakar menerbitkan pula Seharum Rindu 2 yang mengupas tragedi yang berlaku terhadap watak Ameera, Ilana, Dr Aiman dan Sharnaz.

Seharum Rindu 2 arahan Sabree Fadzil yang diterbitkan 26 episod mula bersiaran sejak 3 Julai lalu di TV1 jam 3.05 petang, Isnin hingga Jumaat.

Drama musim baru itu menyambung semula kemelut yang berlaku dalam setiap watak yang pastinya lebih mendebarkan penonton.

Yaya yang juga pencetus idea drama itu berkata, kesinambungan dari musim pertama, Seharum Rindu 2 membuka tirainya dengan penuh tragedi.

Gandingan mantap pelakon seperti Shiqin Kamal, Shah Iskandar dan Erry Putra memberikan kepelbagaian dalam menyentuh perasaan penonton dalam setiap babak yang dilakonkan.

“Saya sengaja mewujudkan suasana tragik dan air mata supaya penonton yang sudah menyaksikan Seharum Rindu musim pertama dapat terus merasai konflik yang terpaksa diharungi setiap watak.

“Babak kemalangan pada musim pertama yang memerlukan Ameera (lakonan asal Elfaeza Ul Haq) melakukan pembedahan plastik menjadikan dirinya seorang yang baru, namun tidak pada hati dan perasaannya.

“Cintanya masih menebal terhadap arwah Helmi (Nazim Othman). Bagaimana Ameera perlu meneruskan kehidupan dengan perasaan itu, apatah lagi Sharnaz (Erry Putra) sering mengungkit kenangan lamanya?,” katanya.

Bagaimanapun, dalam Seharum Rindu 2, Elfaeza tidak lagi memegang watak Ameera dan digantikan pelakon lain.

Menurut Yaya, dia yakin penonton dapat merasai kelainan pada setiap babak kerana ia direka supaya penonton terus bermain dengan emosi sejak awal penceritaan lagi.

Sementara itu, Shah berkata, dia perlu mendalami wataknya sebagai doktor berstatus duda yang mempunyai seorang anak lelaki.

“Saya sentiasa memberikan komitmen dan sepenuh penghayatan kerana drama ini memaparkan realiti kehidupan sebenar. Jadi, saya mahu penonton melihatnya dengan sejujur yang mungkin,” katanya.

Shiqin pula diberikan peranan sebagai kembar kepada Ameera bernama Ilana.

Menurut Yaya, selaku pengarah, Sabree sangat komited dalam menzahirkan naskhah itu ke layar TV kerana dia turut terkesan dengan setiap adegan, emosi dan babak dalam drama itu.

“Mudah juga baginya untuk mengarahkan drama itu kerana pelakon yang dipilih mampu memberi impak dan memahami watak dengan baik. Sabree turut memberikan tunjuk ajar dalam babak pergaduhan dan babak berat membabitkan pembunuhan.

“Saya yakin Seharum Rindu 2 akan terus ‘menjerat’ hati penonton untuk menyaksikannya sehingga penghujung episod,” katanya.

Sinopsis

Seharum Rindu 2 adalah kesinambungan daripada Seharum Rindu musim pertama yang disiarkan tahun lalu.

Ia mengisahkan pasangan kembar, Ameera dan Ilana yang mencintai lelaki sama iaitu Helmi.

Persaingan itu menimbulkan perasaan dengki dan dendam dalam diri Ilana apabila dia merasa tidak adil kerana dibesarkan keluarga angkat yang miskin.

Pada musim kedua pula, Ameera terpaksa mengubah identitinya selepas terbabit dalam kemalangan dan mengakibatkan Helmi meninggal dunia.

Kehadiran Sharnaz dan Iskandar benar-benar mengubah kehidupan pasangan kembar itu.
ot;1" />

Powered by Blogger.