F Izara Aishah menangis berjam di set | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Izara Aishah menangis berjam di set

LEMBUT, kuat, tegas dan menghormati suami.

Itulah watak Izara Aishah dalam filem, Kau Yang Satu.

Filem yang diadaptasi daripada novel berjudul sama karya Nia Azalea ini mula menjalani penggambaran pada 2015.



Mengimbau kenangan membawakan watak Salina, pelakon yang bakal menginjak ke usia 25 tahun September depan mengakui Salina amat menguji kemampuannya.


"Antara sebab utama saya menerima tawaran membintangi Kau Yang Satu sebab tak pernah bawa watak gadis kampung ketika itu.

"Watak Salina ni dalam kelembutan, dia sebenarnya kuat dan tegas serta tetap menghormati suami walaupun terima layanan teruk. Saya kena banyak menangis dan perlu jadi orang lain. Saya pun orang kampung juga, tapi saya jenis kasar," ujarnya.

Kata Izara,  watak Salina juga manis tutur kata, ketawanya dan lemah lembut sehingga ada beberapa kali dia 'terkeluar' dari karakter itu tetapi disedarkan Pengarah, Osman Ali.

"Memang mencabar sebab ada ketikanya saya perlu menangis berjam-jam di set kerana abang Osman mahu rakam dari sudut yang berbeza.

"Pernah sekali saya dah tak ada air mata nak keluar, terpaksalah abang Osman hentikan sekejap penggambaran dan beri masa saya ambil semula mood itu," ujarnya.


Ditanya pengalaman bekerjasama dengan Aaron Aziz, termasuk babak romantis, Izara berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah dan mereka juga menghadiri kelas lakonan serta latihan kira-kira tiga minggu sebelum penggambaran.

Bagi keberkesanan watak Salina, Izara berkata, dia selesa meminta kebenaran isteri Aaron (Diyana) setiap kali babak romantis.

"Babak paling sukar bersama abang Aaron adalah pergelutan di mana Salina digambarkan secara tidak langsung di rogol suami sendiri," katanya.

Biarpun impiannya membawakan watak gadis kampung terlaksana, tapi sejak dahulu lagi, Izara tidak pernah berpuas hati dengan lakonannya.

Justeru selepas ini, katanya dia mengimpikan untuk menjayakan filem yang mengangkat kisah benar atau memerlukan dia melakonkan watak biografi.

"Buat masa ini, saya tidak mendapat apa-apa tawaran filem dan saya teringin menjayakan filem biopik atau kisah benar," katanya yang kini banyak terlibat dengan penggambaran drama serta telefilem.

Sedia Jadi Isteri

Sementara itu, Izara yang baru saja dirisik oleh anak Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, Adib Khalid dihujani ucapan tahniah oleh rakan media.    

Ditanya perancangan seterusnya, Izara berkata, mereka memilih untuk disatukan pada November depan berikutan hanya itu tarikh sesuai yang ada.

Bagaimanapun, pasangan ini belum bersedia berkongsi butiran majlis hari bahagia mereka.

"Masih terlalu awal lagi, saya sendiri pun tak fikir lagi nak perlahankan karier kerana nak buat persiapan atau tidak.

"Apa yang pasti kita ada team yang akan membantu membuat persiapan, namun buat masa ini masih di peringkat awal," ujarnya.

Izara berkata, dia juga sudah lama bersedia untuk menjadi isteri dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga.

"Saya dah lama bersedia cuma tunggu rezeki dan masa yang sesuai untuk menjadi isteri. Saya tak mahu ikut trend orang lain dan jadi isteri bila betul-betul tiba masa yang sesuai," akhirinya.
ot;1" />
Powered by Blogger.