F Gabungan Anwar, Mahathir masih rapuh | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Gabungan Anwar, Mahathir masih rapuh


Gabungan di antara dua pemimpin hebat negara, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pakatan Harapan dilihat masih rapuh kerana perlu memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan kesepakatan.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, walaupun berpengalaman, namun mereka masih sukar untuk tewaskan BN.

“Kita melihat setiap parti politik dalam Pakatan Harapan mempunyai agenda tersendiri. Walaupun memberi cabaran kepada BN, tetapi ia masih rapuh. Dalam satu gabungan ada dua kepala, Anwar dan juga Mahathir. Niat penggabungan ini juga berbeza-beza. Ada yang mahu menjatuhkan BN, ada yang mahu menawan Putrajaya.

“Saya tidak pasti, bagaimana rakyat melihat senario ini memandangkan kedua-dua mereka mempunyai pengikutnya yang tersendiri,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Katanya, dengan agenda yang dibawakan seperti penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) masih tidak cukup kuat untuk Pakatan Harapan berdiri teguh.

“Mereka boleh nak hapuskan GST, tetapi Pakatan Harapan harus membentangkan pula apakah alternatifnya.

“Benar, masyarakat suka, tetapi perjuangan mereka masih tidak jelas. Masih banyak lagi yang perlu dilakukan Pakatan Harapan lakukan,” jelasnya.

Katanya lagi, biarpun Anwar dan Mahathir dilihat sebagai barisan hadapan, tetapi BN masih mempunyai kelebihan untuk terus memenangi hati rakyat.

“Ada beberapa faktor yang dilihat berpihak kepada BN seperti jentera, sumber kewangan, dan juga liputan media. Kerana itu, saya katakan, Pakatan Harapan perlu bekerja lebih keras lagi dalam masa singkat ini untuk menawan hati pengundi.

“Ada beberapa kelompongan dalam Pakatan Harapan yang perlu diselesaikan segera. Isu siapa calon bertanding, matlamat dan beberapa konflik dalaman parti. Jika ini dapat diatasi, tidak mustahil Pakatan Harapan boleh menandingi BN” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Azizuddin tidak menolak gabungan Anwar dan Mahathir ini memberi impak terhadap senario politik negara.

“Mahathir dilihat masih mempunyai ramai pengikut kerana faktor pentadbirannya dalam negara yang begitu lama. Dengan pengalaman mentadbir negara sejak sekian lama, beliau masih dipercayai.

“Tidak hanya itu, terdapat segelintir masyarakat hari ini yang bersimpati terhadap dirinya. Begitu juga Anwar yang ada pengikut baru dan lama sejak 1998.

“Kerana itu akan berlaku tentangan hebat buat BN dengan gabungan dua pemimpin ini,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, gabungan Anwar dan Mahathir tidak begitu memberi impak terutamanya kepada pengundi tegar.

“Ada ramai lagi penyokong yang tidak melihat pada calon atau personaliti sebaliknya teguh dengan parti.

“Dalam pola pengundian terdapat tiga elemen utama iaitu parti, calon dan isu. Saya melihat Pakatan Harapan membawakan agenda atau isu yang sememangnya dekat dengan masyarakat, tetapi ia bukan jaminan mereka terus diterima,” katanya.

Beliau berkata, isu-isu yang dinyatakan tidak mempengaruhi pengundi atas pagar.

“Pengundi atas pagar lebih memilih untuk melihat sosio ekonomi negara, stabil atau tidak. Kebanyakan mereka tidak menghiraukan mana-mana parti atau asas perjuangan, yang penting mereka mendapat keselesaan.

“Isu-isu yang dibangkitkan Pakatan Harapan lebih kepada pengundi bandar. Mereka lebih terkesan, namun isu atau agenda bukan perkara utama,” jelasnya.

Katanya, Pakatan Harapan kini berdepan masalah sendiri di mana, gabungan keempat-empat parti politik ini dianggap tidak mampu bertahan lama.

“Sebelum ini, mereka menubuhkan Barisan Alternatif, kemudian Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan. Kesemua gabungan ini berkubur selepas pilihan raya umum. Mereka tidak begitu konsisten dalam perjuangan hak mereka.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Gabungan Anwar, Mahathir gempur Putrajaya ]

Terdahulu, Pakatan Harapan mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara yang dirosakkan oleh pentadbiran pimpinan BN dan Umno melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Pakatan Harapan dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi PRU14 dalam membentuk kerajaan.
ot;1" />

Powered by Blogger.