Berita Terkini
recent

Fikry Tak Layan Mesej Peminat, Kenapa?

PELAKON dan pelawak Fikry Ibrahim mengambil keputusan tidak membalas sebarang mesej kiriman peminat yang meluahkan hasrat untuk berkahwin dengannya.

Pemilik nama sebenar Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, 23, berkata, dia bimbang jika memberi respons terhadap mesej-mesej tersebut, berkemungkinan akan berlaku salah faham.

Tambah Fikry lagi, dia hanya mengganggap perkara itu sebagai gurauan semata-mata.


"Ada beberapa peminat menghantar mesej di Instagram berhasrat untuk berkahwin dengan saya bagaimanapun saya ambil langkah untuk tidak membalasnya?

"Bagi saya, dengan cara mendiamkan diri adalah lebih baik supaya tak ada yang salah faham kerana saya rasa mereka hanya ingin bergurau dan bertegur-sapa saja.

"Mungkin apa yang mereka maksudkan, nak ajak 'Farrizam' kahwin... bukan saya," kata Fikry.

Farrizam adalah watak dibawa Fikry dalam drama Hero Seorang Cinderella gandingannya bersama Uqasha Senrose.

Sementara itu, ditanya mengenai kesungguhan peminat yang ingin menjodohkan dirinya dengan Uqasha Senrose, bekas pemenang tempat ketika Lawak Solo 2016 itu tidak mempunyai jawapan kepada pertanyaan itu.

"Disebabkan penonton nampak kemesraan saya dan Uqasha dalam drama tersebut, mereka mahu kami bersama dan sejujurnya di luar set penggambaran kami biasa saja.

"Dia antara yang banyak mengajar saya tentang lakonan. Apabila bercakap bab jodoh ni, saya sendiri tak ada jawapan sebab tak nak bagi harapan kepada sesiapa.

"Tetapi saya tak akan tolak jika dijodohkan sekali lagi dengannya dalam drama pada masa hadapan," ujarnya.

Bercakap mengenai karier seninya, Fikry yang kini bergelar hos program Jalan-Jalan Makan Angin memberitahu dia masih lagi serius terhadap dunia komedi dan tidak akan meninggalkan bidang itu.

"Alhamdulillah, syukur lakonan pertama saya mendapat perhatian dan penerimaan baik daripada penonton.

"Saya akan terus berlakon tetapi ia akan seiring dengan bidang memperkenalkan saya dalam industri hiburan iaitu sebagai pelawak," katanya.

Jalan-Jalan Makan Angin bersiaran setiap hari Ahad, 12 tengah hari di TV3.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.