Berita Terkini
recent

Dendam emak gila menantu

SEIRING perkembangan positif dunia teater, dari pentas kecil ke persada antarabangsa turut menarik produksi teater baru hadir dengan idea segar dan kreatif.

Masing-masing tampil dengan misi yang sama iaitu memartabatkan persembahan teater tanah air menerusi penglibatan lebih ramai generasi muda.

Antaranya ialah Troupe Production yang diterajui empat anak muda lepasan Diploma Teater dari Universiti Pendidikan Sultan Idris yang komited menjadi penggerak generasi muda berteater.


Di awal penglibatan mereka, Troupe banyak menimba pengalaman melalui kerja-kerja belakang tabir bersama beberapa produksi yang mengadakan pementasan di Studio Revolution Stage iaitu lokasi sama mereka menjalani latihan industri ketika masih menuntut.

Antara teater yang pernah mereka sertai ialah Mesyuarat Kampung, Broken, Akustikaloka 2.0, Relationship Status, Sidang Para Setan, Kami Halimunan, Bangsa Koyak dan Teater Lelaki Marlboro.

Kini, Troupe buat pertama kalinya tampil dengan naskhah terbitan mereka, Segi yang baru sahaja dipentaskan pada 5 hingga 9 Julai lalu, juga di Studio Revolustion Stage.



Segi yang menampilkan lakonan Muhamad Rashdan Mohd Ayuddin, Nur Saidatul Atira Mohd Nawawi dan Suhaini Hamzah berkonsepkan teater eksperimental dan naskhah itu ditulis sendiri oleh Pengarahnya, Yaya Bahiya.

Segi mengetengahkan konflik diri seorang ibu yang berdendam dengan anak kandungnya sehingga sanggup menggoda dan melakukan perbuatan terlarang dengan menantunya sendiri.

Menurutnya, naskhah ini menjadi pilihan mereka kerana yakin dengan kekuatan jalan cerita selain mesej kekeluargaan yang bakal memberikan impak besar kepada penonton.

Meski ada yang berpendapat naskhah ini sukar 'dihadam' penonton, Bahiya menggunakan pendekatan tersendiri untuk menyampaikan cerita menerusi skrip yang lebih ringan selain babak mudah difahami.

“Kalau dilihat kepada jalan ceritanya, memang tak dinafikan ia naskhah yang agak berat dan bertentangan dengan pilihan kebanyakan penonton hari ini yang lebih sukakan cerita ringan.

“Tapi kami di Troupe Production mengambil tanggungjawab ini sebagai satu cabaran dalam usaha memberi lebih pilihan kepada penonton," ujarnya.

Katanya, naskhah ini terhasil ketika dia dan beberapa rakan lain dalam produksi itu menjalani latihan praktikal malah sepanjang proses penghasilan karya ini turut dibantu Khairunazwan Rodzy dari Revolution Stage termasuk idea dan pelaksanaannya.

Pembentukan karakter sangat mencabar

Menurut Bahiya lagi, skrip Segi melalui beberapa rombakan dalam usaha memberikan yang terbaik.

“Jalan ceritanya agak berlainan daripada kisah yang biasa kita dengar sebelum ini, jadi pembinaan skrip yang baik dan sesuai perlu supaya apa yang ingin disampaikan difahami penonton," katanya.

Dia sendiri mengakui bukan sesuatu yang mudah kerana masih baru dalam bidang ini namun rujukan dan bantuan mereka yang berpengalaman menghasilkan persembahan terbaik.

Menyentuh penggunaan beberapa dialog yang agak kasar dalam naskhah ini, Bahiya tidak melihat ia sebagai sesuatu yang salah atau mengganggu tumpuan penonton kerana penggunaannya dilihat sesuai dengan situasi dan babak.

“Saya faham sensitiviti orang kita dengan dialog kasar atau berbunyi 18SX, tapi dalam beberapa situasi ia perlu untuk menjelaskan apa yang sedang berlaku dalam babak tersebut.

“Tapi saya cuba dengan sebaik mungkin meminimumkan penggunaan dialog begitu kecuali pada babak tertentu yang perlu saja,” katanya yang mengambil masa hampir dua bulan untuk menyiapkan skrip.

Berkongsi cabaran utama sepanjang proses pementasan, kata Bahiya, pembentukan karakter pelakon sangat menguji diri.

Katanya, tempoh latihan selama sebulan tidak mencukupi dan dia sebagai pengarah harus memastikan setiap pelakon yang terlibat dapat mengenal karakter masing-masing dan menyampaikan cerita yang dibawa dengan sempurna.

“Pelakon teater ini muda dan masih baru, belum ada pengalaman membawa watak-watak lebih dewasa daripada usia mereka. Inilah cabaran mereka untuk meyakinkan penonton menerusi penghayatan dan persembahan di pentas,” katanya.

Tambah Bahiya, terdapat beberapa babak yang agak sukar dilakukan terutama perbuatan terlarang antara menantu dan ibu mertua.

Menurutnya, babak tersebut perlu dilakukan dengan berhati-hati agar tidak dilihat keterlaluan sehingga mengganggu tumpuan penonton.

“Babak ini antara yang paling susah untuk dilakukan. Kami ingin menggambarkan apa yang berlaku di antara dua watak iaitu ibu mertua dan menantu yang sedang berperlakuan sumbang.

“Jadi selain dialog, kami perlu lebih kreatif untuk menggambarkan keadaan itu menerusi simbolik pergerakan dan teknik pencahayaan. Apa pun, Segi menyampaikan mesej jelas di mana manusia yang gagal mengawal nafsunya sendiri, bermakna dia juga merosakkan hidupnya sendiri," ujar pengarah ini lagi.

Sementara itu, bagi pelakon utamanya, Muhamad Rashdan Mohd Ayuddin, watak sebagai  Dani Yusof, banyak memberikan pendedahan baru buatnya.

“Membawakan watak yang lebih dewasa daripada usia sebenar saya bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi melibatkan babak yang memerlukan saya buat sesuatu yang tidak pernah ada pengalaman langsung tentangnya.

“Misalnya babak intim antara seorang lelaki dan perempuan,” akuinya.

Sebagai pelakon, Rashdan atau Edan berkata, dia mahu mengambil peluang ini mencabar kemampuan lakonannya  dengan mem- beranikan diri membawakan watak sebegini.

“Berlakon pula dengan pelakon gandingan yang di luarnya adalah rakan baik saya ternyata lebih sukar kerana terikat dengan rasa malu dan segan.

“Tapi saya cuba jadi seorang yang profesional dengan membezakan situasi itu. Alhamdulillah proses latihan banyak membantu membuang perasaan itu dan sama-sama berusaha memberikan yang terbaik,” katanya yang sebelum ini pernah tampil dalam teater Lelaki Marlboro.

Seorang lagi pelakon, Nur Saidatul Atira Mohd Nawawi yang memegang watak sebagai Ryna Alisa menganggap Segi sebagai sebuah naskhah yang sangat menarik dari sudut penceritaan yang cuba disampaikan kepada umum.

Menurutnya, isu hubungan terlarang antara ibu mertua dan menantu jarang diketengahkan kepada umum meski  berlaku dalam masyarakat.

“Watak saya sebagai Ryna Alisa agak berat dan penuh dengan konflik dalaman, tapi atas tunjuk ajar pengarah dan perbincangan bersama rakan-rakan banyak membantu saya merealisasikan watak ini dengan sebaiknya," katanya.

Menurut Saidatul yang juga mempunyai bakat dalam tarian, dia membuat banyak rujukan untuk memastikan apa yang ditampilkan dalam pementasan memenuhi kehendak watak dan jalan cerita.

Sebagai persediaan, Saidatul belajar melalui tontonan filem dan membaca kisah yang ada persamaan dengan wataknya.

“Ini pementasan pertama yang menampilkan saya dengan watak utama dan saya harap selepas ini akan mendapat lebih banyak peluang lagi untuk menimba pengalaman dengan watak yang berbeza pula.
Powered by Blogger.