Berita Terkini
recent

Berita Saleem Meninggal Dunia Palsu, Isteri Mahu Ambil Tindakan

Isteri kepada vokalis kumpulan Iklim, Saleem iaitu Juriah @ Julia Bachok mengesahkan kecewa dengan penyebaran berita palsu mengatakan suaminya meninggal dunia.

Justeru beliau berharap masyarakat tidak mudah mempercayai berita berbentuk spekulasi yang disiarkan di mana-mana laman hiburan bertujuan mencari keuntungan secara mudah.

Memetik laporan Harian Metro, Juriah memberitahu buat masa sekarang keadaan suaminya adalah stabil. Cuma demam panasnya tidak menentu kerana ada turun naik.

"Saya minta kepada mereka yang menyebarkan cerita palsu kononnya dia meninggal agar berhenti membuat dosa dengan menyebarkan fitnah," katanya.

Kelmarin, penyanyi kumpulan Iklim ini dimasukkan ke Pusat Pakar UKM, Cheras akibat demam panas sejak seminggu lalu.

Julia berkata, panas badan Saleem tidak menentu dan doktor masih mencari punca sebenar penyakitnya.

"Mungkin beberapa hari lagi barulah kita dapat keputusan yang tepat. Tapi doktor mengatakan ia mungkin kerana jangkitan kuman dalam darah.

"InsyaAllah saya biarkan dia berehat di wad sehingga betul-betul sembuh sebelum kembali menyanyi" katanya.

Julia turut kesal dengan tuduhan liar mengatakan penyakit suaminya berpunca daripada pengambilan bahan terlarang.

"Apa salahnya kita mendoakan yang terbaik untuk abang Saleem agar dia cepat sembuhdan kembali memeriahkan industri seni tanah air. Janganlah kita terus menghukumnya atas kesalahan silam.

"Kena ingat dosa orang yang suka buat fitnah. Saya berterima kasih terhadap peminat yang memberikan komen yang baik dengan mendoakannya di laman sosial," katanya.

Menurutnya, Saleem yang baru tampil dengan single Karma Cinta juga sudah dua bulan berhenti merokok dan bercadang menunaikan ibadah haji.

"Jika diizinkan Allah, abang Saleem memang berniat nak ke Makkah kerana mahu membersihkan dirinya.

"Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan sebarang cerita palsu mengenai abang Saleem," katanya.

Dia turut meminta peminat merujuk berita daripada sumber media yang dipercayai serta di Instagram @aku_saleem milik Saleem dan @ju_saleem bagi mendapatkan maklumat yang sahih.
Powered by Blogger.