Berita Terkini
recent

Bapa Tutup Ruangan Komen, Elak Emosi Puteri Balqis Terganggu

Bapa kepada pelakon cilik berbakat, Puteri Balqis iaitu Azizi Aziz menjelaskan dia terpaksa mengambil langkah menutup ruangan komen di laman Instagram anaknya kerana tidak mahu emosi anaknya terganggu.

Memetik laporan mStar online, Azizi berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini terlalu banyak komen berbaur cacian, kejian dan hinaan dilempar netizen yang sekali gus menjejaskan emosi anaknya.

"Benar, memang kami sengaja menutup ruangan komen pada setiap posting gambar anak saya di Instagram kerana kami tahu dia tidak kuat untuk hadapi cacian dan tohmahan orang.

"Sebagai ayah saya tahu dia dah cuba jadi yang terbaik untuk diri dan kerjaya seninya. Malangnya masih ada orang yang sengaja mahu mencari salah-silap dia," katanya.

Sehingga kini, Instagram Puteri Balqis iaitu @rockingbalqis mempunyai seramai 451 ribu pengikut di mana ibunya, Norashikin Mohd Aziz, 34, bertindak memantau setiap aktiviti pada Instagram berkenaan.

Dalam pada itu, kata Azizi, dia dan isteri sehingga hari ini cuba bersikap terbuka menerima setiap teguran selagi ia beradab dan bertempat. Hal ini termasuklah apabila ada pihak menyuarakan isu pemakaian Puteri Balqis yang disifatkan agak seksi di laman Instagramnya.

Malah Azizi juga berharap orang ramai tidak terus 'mengikat' karekter anaknya itu dengan watak-watak yang pernah dilakonkan sebelum ini kerana anaknya juga berhak untuk mencorak kehidupan dengan cara sendiri.

"Soal berpakaian tu, pada usianya sekarang saya hanya mahu dia jujur pada diri sendiri dan selesa apa yang dia buat. Tiba waktunya dia membesar dan matang macam orang lain juga," katanya.

Selain itu Azizi memberitahu dia bersyukur kerana Puteri Balqis yang kini berusia 10 tahun sudah berjaya khatam Al Quran dan seorang yang cepat belajar.
Powered by Blogger.