F Bangsawan dari Singapura | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Bangsawan dari Singapura

Biasanya kita hanya menyaksikan persembahan bangsawan daripada penggiat teater tempatan.

Bagaimanapun, buat julung kalinya, peminat teater berpeluang menyaksikan persembahan bangsawan daripada penggiat teater Perkumpulan Seni Singapura dari Singapura.

Menerusi program Siri Semarak Bangsawan 2017 anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ini, mereka akan mementaskan bangsawan berjudul Bangsawan Satria Menara Putih karya Samsudin Said arahan Mohamed Ihsan Ali.

Ia akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 21 hingga 23 Julai ini, jam 8.30 malam.

Samsudin sangat dikenali sebagai seniman yang aktif berkarya dan bergelar penulis puisi, cerpen, skrip drama radio, skrip bangsawan, skrip drama televisyen dan pentas sejak 1980-an.

Dia pernah memenangi beberapa anugerah di Pesta Perdana antaranya Drama Siri Terbaik Gerimis di Hati (2011), Drama Popular Anak Metropolitan 3 (2013), Drama Siri Terbaik Bingit dan Drama Popular Mengejar Mentari pada 2015.

Samsudin juga dua kali menerima anugerah bagi puisi di Golden Point Award pada 2011 dan 2013.

Selain itu, Mohamed Ihsan juga berpengalaman dalam bidang seni dan sememangnya fokus dengan penerbitan drama televisyen dan teater.

Dia sendiri seorang pelakon televisyen, radio dan pentas sejak 1980-an. Dalam Perkumpulan Seni Singapura sendiri, dia salah seorang pelatih dan penyelia lakonan unit drama sejak 1986.

Sehingga kini, dia masih aktif berlakon terutama di stesen TV Suria dan Warna.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli berkata, misi Siri Semarak Bangsawan 2017 untuk mengangkat dan memartabatkan seni budaya dalam kalangan negara serantau.

“Antara objektifnya termasuk sebagai pemeliharaan dan meningkatkan kecintaan terhadap seni bangsawan.

“Selain mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Singapura, bangsawan juga dapat memberi ruang serta peluang kepada generasi muda di Singapura untuk mempelajari mengenai bangsawan,” katanya.

Menurutnya, Bangsawan Satria Menara Putih sangat digalakkan bagi penggiat seni dan teater tempatan di samping memberi pendedahan mengenai bangsawan kepada pelajar institut pengajian tinggi awam dan wwasta, sekolah serta masyarakat umum.

Perkumpulan Seni Singapura, ditubuhkan pada 8 Julai 1956 selepas pertemuan seniman daripada pelbagai bidang pada 8 Julai 1956.

Tujuan asasnya ialah memperkembangkan dan memelihara keaslian serta nilai kesenian Melayu. Berlandaskan cogan kata ‘Seni untuk Rakyat’, antara misinya ialah membimbing dan membina pengertian seni kepada masyarakat.

Bangsawan Satria Menara Putih menampilkan pelakon Azman Shariff sebagai Maharaja Andika Perkasa dan Mahyonis Mahfudz (Permaisuri Andila Purnama).

Perkumpulan Seni Singapura turut bekerjasama dengan Ombak Script House Production, National Arts Council Singapura dan Moephosis Concept dalam pementasan ini.

Tiket sudah mula dijual dengan harga RM10, RM25 dan RM20 (premier). Untuk mendapatkan tiket, peminat boleh berurusan dengan JKKN.
ot;1" />
Powered by Blogger.