F Azza tak tinggal dunia seni | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Azza tak tinggal dunia seni

Selepas berhijab dan berumah tangga buat kali kedua, pelakon dan penyanyi Azza Elite lebih banyak fokus bisnes yang diusahakannya.

Malah, ada pihak mendakwa bekas anggota kumpulan Elite yang popular pada era 90-an itu sudah menoktahkan kerjaya seninya.

Hakikatnya, kata pemilik nama sebenar Nor Azzarima Zawwari, 39, ini dia masih mencintai dunia seni yang sudah sebati dengan dirinya sejak dua dekad lalu.

“Saya masih menerima tawaran berlakon dan mengacara tetapi tidak serancak dulu.

“Saya sedar artis senior seperti kami perlu bersaing dengan kemunculan ramai bakat baru yang lebih cantik dan berbakat tetapi ia sesuatu yang sihat dalam industri hiburan tanah air.

“Apabila tidak berlakon, saya menumpukan perhatian terhadap perniagaan terutama bedak sejuk yang mendapat sambutan ramai,” katanya.

Terbaru, Azza diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab selaku hos program berbentuk penjualan barangan keperluan rumah iaitu Laku Mall yang bersiaran di saluran Hypp TV bermula 1 Jun lalu.

Azza juga bergandingan dengan Dynas Mokhtar serta bakat baru Iskandar Ng.

“Alhamdulillah, masih ada yang percaya dengan kemampuan saya mengendalikan program TV.

“Ramai artis popular dan bakat baru disenaraikan untuk posisi ini tetapi rezeki berpihak kepada saya. Program ini ada 37 episod.

“Apa yang menarik, saya dan hos lain baru sahaja menjayakan rakaman program ini di Thailand baru-baru ini,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran program Laku Mall.

Selain itu, pelakon Mami Jarum Junior itu baru selesai penggambaran drama Isteri-Isteri Ayah yang kini menghiasi slot Iris di TV3.

Drama ini turut dibintangi Datuk Jalaluddin Hassan, Liza Abdullah, Faye Kusairi, Wan Syarmila dan Syazwan Zulkifli.

Mengenai karier nyanyian pula, Azza masih menyimpan impian untuk muncul dengan single baru tidak lama lagi.

“Saya pernah merakamkan lagu berjudul Kau Boleh Jalan ciptaan Edry Abdul Halim beberapa tahun lalu.

“Namun, ia tidak dipromosikan secara serius kerana saya juga baru tampil berhijab ketika itu.

“Insya-Allah, jika ada rezeki dan peluang, saya akan muncul dengan single baru bagi mengubat kerinduan peminat,” katanya.

Suami tulang belakang bisnes

Jika tidak terikat dengan aktiviti seni, Azza yang pernah digelar ‘artis kampung’ kerana menjual bedak sejuk turut membantu suaminya, Azlan Zulalily, 30, mengembangkan bisnes di bawah label Azza Elite Empire HQ.

“Kami bekerjasama sebagai satu pasukan. Terus terang, suamilah tulang belakang dan kejayaan bisnes ini.

“Suami yang banyak merancang strategi pemasaran hingga syarikat berada pada tahap sekarang

“Sebab itu, saya menafikan dakwaan segelintir pihak yang menyebarkan cerita tidak betul kononnya saya menyara hidup suami.

“Hakikatnya, kami sama-sama bekerja keras memajukan perniagaan ini,” katanya.

Selain bedak sejuk, syarikatnya turut menjual jubah, tudung dan blaus.
ot;1" />
Powered by Blogger.