Berita Terkini
recent

Ayu Damit aktif menyanyi dan bekerja tetap

LAMA tidak melihat kelibatnya di TV dan majlis hiburan sehingga ada yang menyangka, Ayu Damit sudah memperlahankan kerjaya seninya.

Ayu juga sudah lebih selesa bekerja tetap di sebuah syarikat.

Kali terakhir penyanyi ini muncul menerusi single Beauty Till Jannah, namun khabarnya kurang mendapat sambutan malah tidak mendapat ruang di radio utama menyebabkan dia beralih arah.

Ayu yang ditemui di majlis Rumah Terbuka Restoran D’Empangan Udang Galah, Putrajaya Jumaat lalu, tidak putus-putus menyatakan minatnya dalam bidang seni meskipun perlu bersaing dengan ramai penyanyi baru yang silih berganti.

“Saya sebenarnya tak pernah hilang atau berehat sebab minat saya memang di sini sejak awal masuk industri sampai sekarang. Cuma biasalah artis ni, mesti ada pasang dan surutnya.

Bagaimanapun, Ayu bersyukur kerana rezekinya ditawarkan bekerja tetap di sebuah syarikat yang melantiknya sebagai duta dan dia sendiri selesa dengan suasana dan rakan-rakan di tempat kerjanya.

Pun begitu, Ayu tidak pernah berhasrat meninggalkan kerjaya seni, malah sentiasa mencari peluang terbaik untuk kembali tampil dengan karya terbaru sebagai kesinambungan kerjaya seninya.

Penyanyi hasil program realiti One In a Million (OIAM) musim pertama ini juga sedang giat membuat persediaan untuk tampil dengan sebuah album mini dan masih mengekalkan genre balada.

“Buat masa sekarang memang saya agak sibuk memberi tumpuan kepada album ini, tiga buah lagu dah siap dirakamkan dan kini sedang tunggu dua atau tiga lagu lagi," jelasnya.

Kata Ayu lagi, album ini juga adalah album soundtrack sebuah filem yang bakal ditayangkan sekitar hujung tahun ini dan keseluruhan lagunya mempunyai kaitan secara langsung dengan jalan cerita filem tersebut.

Penyanyi yang dikenali menerusi lagu Hanya Di Mercu ini mengakui tidak mudah bergerak sendiri mempromosikan lagunya kerana terikat dengan pelbagai komitmen lain selain kekangan masa yang dihadapinya.

“Ia memang bukan sesuatu yang mudah dan kita perlu bekerja keras untuk memastikan karya yang dihasilkan itu sampai kepada peminat menerusi pelbagai saluran yang ada.

“Tapi kalau usaha tak cukup, apatah lagi silap percaturan ketika dalam promosi,  memang habislah semuanya,” katanya yang tetap mahu menunjukkan hasil terbaik untuk peminat.

Anak-Anak semakin membesar

Ayu juga mengakui bertuah apabila majikannya cukup memahami dan sentiasa memberi kelonggaran untuk dia terus bergiat aktif dalam bidang nyanyian.

"Kalau ada persembahan, beliau turut memberi kelonggaran tanpa sebarang syarat dan situasi itu membuatkan saya benar-benar menghargai kepercayaan yang diberikan,” kata Ayu lagi.

Meskipun tawaran mengadakan persembahan pentas sudah tidak serancak dahulu, Ayu merasakan kehidupannya kini lebih tenang dan teratur.

“Dulu kalau tawaran persembahan kurang, saya dah mula risau itu dan ini sebab nak kena  fikir pelbagai perkara yang menjadi tanggungan saya.

“Tapi sekarang saya rasa selesa sebab dapat mengatur kewangan dengan lebih baik walaupun  pendapatan dulu mungkin lebih besar berbanding hari ini.

“Rezeki sebenarnya datang kepada kita dalam pelbagai cara dan saya anggap apa yang saya peroleh hari ini adalah kerana anak-anak” akuinya yang berjaya membeli kereta idaman dengan wang dan usaha sendiri.

Menyentuh kehidupannya sebagai isteri dan ibu kepada tiga orang anak yang sedang membesar, Syed Nasrul Haikal, 8, Sharifal Alya Aryana, 5, dan Syed Aqif Najmi, 3, kata Ayu, sebagaimana ibu lain di luar sana, dia juga melalui situasi serupa dengan mengutamakan keperluan anak-anak.

“Dulu ketika tak ada pembantu, ke mana saja saya pergi saya akan bawa anak-anak sebab tak ada siapa yang nak jaga.

“Ketika itu susah jugalah nak uruskan itu dan ini dengan kemampuan saya yang agak terhad, tapi sebagai ibu semestinya saya harus memberikan yang terbaik kepada anak-anak.

“Sekarang anak-anak dah semakin besar dan saya juga ada seorang pembantu yang menguruskan mereka ketika saya keluar bekerja,” kata Ayu.

Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.