Berita Terkini
recent

Anwar, Tun M bergabung?

Spekulasi bakal terjawab! Tanda tanya siapa pemimpin utama yang menerajui Pakatan Harapan akan dimuktamadkan.

Tiga jawatan utama Majlis Presiden pakatan itu yang sebelum ini menjadi polemik dan pertikaian berbulan-bulan mengenai siapa dan parti mana yang layak semakin mengendur.

Tumpuan pasti terarah kepada hasil mesyuarat Majlis Presiden malam ini yang difahamkan telah membentuk kata sepakat trio mana diangkat sebagai kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan membolehkan gerak kerja dan jentera menjayakan misi menang PRU14 lancar dan sukses.

Sebelum keputusan mesyuarat diumum secara rasmi, pelbagai maklumat dan andaian mengenainya tular di media sosial.

Paling menyentap tumpuan ialah ‘persetujuan’ pemimpin Pakatan Harapan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memimpin gabungan pembangkang itu.

Spekulasi kata sepakat itu didakwa mengaitkan Anwar sebagai Ketua Umum Pakatan Harapan, Mahathir sebagai pengerusi dan Wan Azizah sebagai presiden.

Menarik juga apabila gabungan Mahathir dan Anwar itu mengembalikan nostalgia 20 tahun lepas ketika kedua-dua pemimpin prolifik ini bekerja dalam kerajaan sama sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Selain itu, turut tersebar adalah spekulasi pelantikan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai kepimpinan yang bakal mengisi kerusi Naib Presiden Pakatan Harapan.

Turut ditular adalah stuktur baru Majlis Presiden Pakatan Harapan yang akan dibarisi ketua umum, pengerusi, naib presiden, setiausaha, bendahari dan ahli majlis tertinggi terdiri daripada wakil DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.

Gabungan serasi dua tokoh besar bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dilihat sebagai gabungan serasi sekiranya dua tokoh besar ini bergabung memimpin Pakatan Harapan.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, pihaknya bersikap terbuka sekiranya majoriti parti dalam Pakatan Harapan bersetuju melantik Anwar sebagai Ketua Umum dan  Mahathir sebagai pengerusinya.

Bagaimanapun, kata Khalid, keputusan sama ada perkara itu dapat direalisasikan hanya akan diketahui apabila mesyuarat Pakatan Harapan selesai.

“Saya terbuka dalam perkara ini. Tetapi kena dengar juga hujah ahli lain. Tak bolehlah kita buat pendirian yang terlalu keras sehingga tidak boleh berganjak.

“Bagi pendapat peribadi saya sendiri, ia tiada masalah untuk terjadi,” katanya.

Mengulas lanjut, Khalid mengakui mungkin akan ada segelintir ahli dalam Pakatan harapan tidak bersetuju dengan cadangan itu.

“Sebab itu mesyuarat diadakan. Mungkin ada yang setuju sebelum ini tetapi dalam mesyuarat menukar pendirian.

“Dalam mesyuarat itu nanti kita akan dengan setiap alasan dan hujah daripada ahli dan selepas itu kita akan buat keputusan. Jadi, kita tunggu saja nanti,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.