Berita Terkini
recent

Akhirnya Anak Yusry, Lisa Dalam Program TV

SEMUA tahu pasangan Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim begitu menjaga privasi keluarganya terutama dalam mendedahkan anak-anak mereka kepada gemerlapan dunia hiburan.

Bagaimanapun mereka agak terbuka dalam berkongsi pengalaman dan tip keibubapaan menerusi program infotaimen eBu Babypedia yang kini memasuki musim kedua.

Malah menerusi rancangan itu, anak pertama pasangan berkenaan, Yahaira Leanne yang kini berusia dua tahun turut membuat kemunculan dalam memeriahkan program tersebut.

Bagaimanapun Yusry menegaskan eBu Babypedia bukannya semata-mata mengenai anak mereka namun lebih kepada perkongsian tip, petua dan info berguna kepada penonton.

"Format program ini adalah infotaimen walaupun ada elemen realiti di dalamnya malah nama rancangan ini bukannya nama anak kami.

"Kalau kami tak masukkan anak kami dalam program ini ia mungkin kedengaran tidak betul kerana ia mengenai ibu-bapa dalam membesarkan anak," katanya.

Pasangan itu ditemui pada majlis pelancaran program eBu Babypedia musim kedua yang diadakan di Ampang, Kuala Lumpur pada Isnin.

Lisa dan Yusry masih kekal sebagai wajah utama program itu dalam berkongsi menjaga dua anak mereka, Yahaira Leanne dan Yusof Leonne yang kini berusia tiga bulan.

Dalam pada itu, Yusry berkata, walaupun mereka sebelum ini tidak terbuka dalam berkongsi perihal anak mereka namun menerusi program itu tiada sebarang had diletakkan kepada produksi dalam menampilkan Yahaira.

Bagaimanapun kata Yusry, itu tidak bererti Yahaira perlu mengikut semua jadual penggambaran sebaliknya kanak-kanak itu muncul secara spontan.

"Kami tidak meletakkan sebarang had dalam penampilan anak kami dalam rancangan itu kerana eBu Babypedia bukannya program realiti.

"Sebaliknya apa yang berlaku kami tidak memaksanya untuk melakukan penggambaran dan jika dia tiba-tiba muncul maka adalah terselit wajah Yahaira bersama kami," jelasnya.

Bercakap lanjut mengenai eBu Babypedia, Lisa berkata pengisian program itu kali ini lebih kepada perkara asas yang sentiasa menjadi persoalan pasangan baharu menimang cahaya mata.

"Walaupun sudah ada pengalaman dengan anak pertama sebelum ini namun tidak kira berapa anak yang anda ada pasti ia akan memberi pengalaman dan ilmu baru.

"Perkara itu yang ingin kami kongsikan termasuk perkara-perkara asas yang sentiasa menjadi persoalan dalam menanti kelahiran dan membesarkan anak-anak," ujarnya.

Dalam pada itu Penolong Naib Presiden Gen Next Astro, Razlin Irawati Johar berkata, program itu diteruskan untuk musim kedua rentetan respons positif pada musim terdahulu.

Kata Razlin, menariknya menerusi program ini ia menampilkan kelainan menerusi sketsa ringkas mencuit hati lakonan Jihan Muse dan Bell Ngasri bagi menyuntik elemen humor.

"Banyak perkara menarik menerusi musim ini termasuk Yusry membuat demonstrasi cara penjagaan bayi selain menunjukkan cara mudah menyediakan puri makanan bayi.

"Lisa juga banyak berkongsi tips mengikut topik diketengahkan demi kepentingan anak meskipun sibuk dengan kerjaya masing-masing," katanya.

eBu Babypedia yang menampilkan 10 episod memfokuskan pada kandungan termasuk hal-hal keibubapaan bersiaran pada setiap Sabtu mulai 26 Julai ini.

Ia disiarkan pada pukul 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).


Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.