Berita Terkini
recent

Adiwira menggeletek hati

Dua tahun lalu, produksi Sony Pictures dan Marvel Studios mengumumkan akan menghasilkan kisah baru Spider-Man dengan Kevin Feige dan Amy Pascal sebagai produser filem itu.

Kemunculan Spider-Man remaja dalam Captain America: Civil War tahun lalu secara tidak langsung memberi petunjuk adiwira itu bakal mempunyai filem mengenai dirinya.

Kini, penantian panjang peminat adiwira itu bernoktah apabila Spider-Man: Homecoming ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai esok.

Kisah kali ini berbeza dengan filem Spider-Man lalu kerana mengetengahkan naratif segar dan wajah baru.

Filem arahan Jon Watts ini juga bukan berdasarkan kisah klasik Spider-Man kerana adiwiranya, Peter Parker remaja berusia 16 tahun dan dibintangi jejaka Inggeris, Tom Holland.

Ia memaparkan bagaimana Parker cuba mengimbangi kehidupannya sebagai pelajar sekolah biasa dan pada masa sama melaksakan tanggungjawabnya sebagai adiwira tanpa pengetahuan sesiapa.

Semestinya sikap gemar bergurau Spider-Man masih dikekalkan, cuma kali ini lebih sarat dengan babak jenaka yang pastinya membuat penonton ketawa terbahak-bahak.

Perasaan ingin membantu orang sekeliling semakin membuak di hati adiwira muda ini selepas dihadiahkan sut baru serba canggih daripada Tony Stark.

Ketika masih menyesuaikan diri dengan kuasa barunya, Spider-Man perlu menumpaskan perniagaan haram yang dikendalikan penjahat Vulture lakonan Michael Keaton.

Selain Stark membuat keputusan penting yang bakal mengubah masa depan Parker, filem ini turut mendedahkan satu watak penting dalam kisah Spider-Man iaitu MJ.

Bagaimanapun, ini teka-teki kepada penonton untuk memikirkan sama ada gadis bernama Michelle yang kemudian meminta rakan sekelasnya memanggilnya MJ adalah kekasih Spider-Man bernama Mary Jane.

Menyamar pelajar sekolah

Berkongsi pengalaman beraksi dalam Spider-Man: Homecoming, Holland berkata, ada masalah komunikasi dengan pihak Marvel Studios apabila produksi itu menyangka dia mahu menyamar sebagai pelajar sekolah menengah sebagai persiapan wataknya.

Sebagai rakyat British, pelakon berusia 21 tahun itu mendedahkan kurang memahami suasana sekolah menengah di Amerika Syarikat dan menyuarakan cadangan itu sebagai jenaka.

“Niat saya cuma bergurau. Saya mencadangkan kepada produksi supaya saya menyamar sebagai pelajar sekolah tinggi.

“Tak sangka produksi salah anggap saya menyindir mereka dan memandang serius perkara ini,” katanya ketika menghadiri program bual bicara Jimmy Kimmel Live.

Kata Holland, dia kemudian diberikan beg galas beserta pensel kotak dan dibawa ke Sekolah Sains Bronx.

“Sekolah ini untuk pelajar cemerlang namun saya bukan pintar dalam pelajaran. Saya mengikuti sesi persekolahan dengan menggunakan nama dan loghat palsu.

“Semua guru tidak menyedari saya menyamar dan saya diminta ke hadapan kelas untuk melontarkan pandangan sebagai pelajar baru.

“Saya beritahu kurang memahami apa yang mereka cuba sampaikan. Situasi itu memang memalukan,” katanya.

Dalam sidang media lain, Holland mendedahkan hanya memakai seluar dalam ketika beraksi menggunakan kostum Spider-Man.

“Saya diberikan seluar dalam itu pada hari pertama penggambaran dan terpaksa membiasakan diri.

“Malah, bukan mudah untuk saya menanggalkan kostum terbabit ketika hendak ke tandas. Selepas itu, saya perlu berlari ke set penggambaran dan menyarungkan semula kostum,” katanya.

Menurut pelakon itu, kostum terbabit turut menyukarkan dia minum dan diberikan air menerusi tiub khas oleh pembantu peribadinya.

Spider-Man: Homecoming turut dibintangi Jon Favreau, Donald Glover, Zendaya, Jacob Batalon, Laura Harrier, Tyne Daly dan Marisa Tomei.

Pelakon Robert Downey Jr kembali sebagai Iron Man dan Tony Stark manakala Captain Amerika lakonan Chris Evans turut membuat penampilan istimewa.

Nantikan dua penghujung kredit istimewa termasuk pesanan khas dari Captain Amerika di akhir naratif.
ot;1" />
Powered by Blogger.