Berita Terkini
recent

Ada Sebab ‘Spider-Man: Homecoming’ ‘Reboot’ Terbaik

SEWAKTU perkhabaran tentang francais filem Spider-Man mahu dibut semula (reboot), penulis tertanya apakah Hollywood benar-benar sudah ketandusan idea sehingga mahu melakukan kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini?.

Benar! Kesilapan besar itu apabila mereka membikin semula dua filem Spider-Man iaitu The Amazing Spider-Man (2012) dan The Amazing Spider-Man 2 (2014) dengan menampilkan bekas calon Oscar, Andrew Garfiled sebagai Peter Parker dan alter egonya, Spider-Man.

Pada hemat penulis, pembikinan dua filem Spider-Man itu tidak seharusnya berlaku memandangkan trilogi Spider-Man arahan Sam Raimi (2002, 2004 dan 2007) masih lagi segar di minda peminat. Bahkan, trilogi itu masih dianggap terbaik dalam kelompok filem adiwira yang pernah dihasilkan.
Ternyata, pembikinan dua filem Spider-Man dalam dekad baharu itu tidak mendapat tempat di hati peminat secara umumnya biarpun kutipan tiketnya memberi pendapatan lumayan buat Columbia Pictures.

Sehubungan dengan kegagalan itu, apakah Columbia Pictures sudah bersedia untuk menempuhnya sekali lagi dengan pembikinan Spider-Man: Homecoming yang baru sahaja ditayangkan lebih kurang seminggu lalu di seluruh dunia?

Barangkali untuk mereka yang tidak tahu tentang watak Spider-Man yang baharu ini, ia telah membuat kemunculan istimewa dalam filem Captain America: Civil War (2016) dengan
menyaksikan pelakon remaja, Tom Holland (The Impossible, 2012) menggalas tanggungjawab berkenaan dan ternyata kemunculan lelaki labah-labah itu mendapat maklum balas positif daripada semua pihak.
Justeru, Columbia Pictures dengan kerjasama Marvel Studios tidak mahu berlengah lagi lalu memberikan peluang untuk Spider-Man baharu ini muncul dalam filemnya sendiri.

Percaturan itu tidak silap dan hasilnya, Spider-Man: Homecoming mencatatkan kejayaan luar biasa bukan hanya dari segi kutipan tiket tetapi respons serta kritikan positif daripada semua pihak.

Dari sudut pandang penulis sendiri, Spider-Man: Homecoming adalah filem but semula terbaik dalam pelbagai aspek yang penulis anggap cukup relevan dengan senario masa kini.


Pertamanya, Holland telah memberikan justifikasi terhadap watak Spider-Man dan Peter Parker itu sendiri apabila memperkatakan tentang istilah but semula itu sendiri. Karakternya yang lincah, bertenaga dan memiliki sifat humor telah memberikan warna yang positif buat Spider-Man itu sendiri.

Holland juga dilihat mewakili suara remaja dunia hari ini yang mahu bebas melakukan apa sahaja kerana mereka merasakan itu adalah yang terbaik tanpa perlu dikongkong atau diarah oleh mereka yang lebih berkuasa (dalam konteks ini, ibu bapa mahupun penjaga) walaupun mereka tahu risiko yang perlu dihadapi.

Disebabkan itu, sebagai seorang mentor dan individu yang bertanggungjawab membawa Spider-Man ke hadapan serta membentuknya menjadi adiwira, kehadiran Tony Stark atau Iron Man (lakonan Robert Downey Jr.) memberikan keseimbangan dalam setiap tindak-tanduk Spider-Man dan memercikkan aura positif kepada penonton.

Seiring dengan persekitaran dunia hari ini yang semuanya berlandaskan teknologi, begitu juga dengan Spider-Man: Homecoming yang turut bergerak seiring dengan perubahan zaman.
Sehubungan itu, penonton dapat melihat bagaimana Spider-Man menyarungkan sut yang lebih sofistikated lengkap dengan navigasi bernama Karen (suara oleh bekas pemenang Oscar, Jennifer Connelly).


Menyentuh tentang lakon layar dan ceritanya pula, Spider-Man: Homecoming memberikan sesuatu yang segar untuk khalayak yang jauh berbeza daripada apa yang pernah dipersembahkan sebelum ini.
Pada hemat penulis, Spider-Man: Homecoming sebenarnya mahu menarik perhatian penonton kanak-kanak dan remaja khususnya lalu tema ceritanya telah disuntik dengan elemen positif.

Semua perkara itu ada kena-mengena dengan senario politik dunia dan perhubungan antara kaum itu sendiri lalu Spider-Man: Homecoming mengambil peluang itu dengan memberikan pendekatan sedemikan rupa dengan mesej yang cukup jelas.

Nama pun filem yang dibut semula. Jadi, serba-serbi haruslah dilakukan berbeza dengan filem-filem terdahulu. Disebabkan itulah, Peter Parker mempunyai sahabat baik dari kaum etnik Polenisia, Ned Leeds (Jacob Batalon) serta jatuh cinta dengan seorang pelajar perempuan berkulit hitam, Liz (Laura Harrier).

Bukan itu sahaja, Liz turut digambarkan sebagai memiliki keluarga daripada pelbagai bangsa apabila ibunya berkulit hitam manakala bapanya, Adrian Toomes (Michael Keaton) pula berkulit putih yang merupakan penjahat utama, Vulture.

Watak seteru yang selalu menggangu dan membuli Peter Parker, Eugene Thompson atau Flash juga mengalami perubahan dan berbeza dengan watak komik kerana mahukan watak tersebut relevan dengan watak pembuli zaman moden ini.

Bahkan, watak Makcik May (Marisa Tomei) turut melalui revolusi dan bukannya seperti dalam filem trilogi Spider-Man mahupun dua filem The Amazing Spider-Man.

Dalam beberapa aspek, penulis juga tertarik bagaimana beberapa watak dalam filem ini ditampilkan dengan penuh misteri sehingga mengundang tanda tanya.

Salah satunya watak Michelle Jones atau MJ (Zendaya) yang penulis menyangkakan ia adalah watak adiwira yang mungkin akan dikembangkan dalam filem sekuel kelak kerana kemunculannya dalam babak-babak tertentu tetapi rupa-rupanya ada cerita berbeza di sebaliknya.

Perasaan itu juga dirasai menerusi watak Mac Gargan (Michael Mando) yang memberi gambaran jelas bahawa dia juga sebenarnya adalah watak antagonis dalam dunia Spider-Man dan apabila diselidiki, dia adalah antara penjahat yang boleh disifatkan sebagai antara yang berbahaya.

Secara keseluruhannya, Spider-Man: Homecoming telah memberikan definisi baharu dalam terma but semula (reboot) dan sewajarnya menjadi contoh terbaik kepada mana-mana filem yang mahu melalui perubahan itu selepas ini.

Buat peminat Spider-Man, pastikan anda tidak ketinggalan menantikan kemunculannya dalam dua buah filem The Avengers pada tahun 2018 dan 2019 selain filem sekuelnya yang dijadualkan tayangannya pada Julai 2019.


ot;1" />
Powered by Blogger.