F 28 penduduk halang lori ditahan polis | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

28 penduduk halang lori ditahan polis

Seramai 28 individu ditahan polis selepas bertindak menghalang pergerakan empat lori membawa muatan kayu getah di Kampung Serampang Indah, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka yang ditahan berusia antara 40 hingga 60an, melibatkan 15 lelaki dan selebihnya wanita.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang pemandu lori berusia 30an yang mendakwa lorinya dihalang keluar oleh penduduk sekitar jam 12 tengah hari.

"Manakala tiga lagi rakannya yang merupakan pemandu lori berasingan juga dihalang oleh penduduk dalam kejadian sama.

"Susulan itu, sekumpulan polis diarah ke lokasi pada jam 1 tengah hari, dan kita menasihati penduduk terlibat supaya tidak meneruskan tindakan mereka namun malangnya tidak diendahkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini hari ini.

Noorzainy berkata , polis terpaksa mengambil masa kira-kira satu jam setengah bagi memberi peluang kepada penduduk terbabit supaya beredar sebelum mereka ditahan pada jam 3 petang semalam selepas gagal mengikut arahan.

"Mereka yang ditahan, direman selama tiga hari bermula hari ini (semalam) sehingga Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Noorzainy menafikan pihaknya tidak telus dalam menjalankan siasatan berkaitan kes yang dilaporkan sebelum ini di kampung itu.

"Kita tidak selindung apa apa pun susulan kes yang dijalankan adalah mengikut prosedur dan undang-undang, malah setiap laporan akan disiasat tanpa melindungi mana - mana pihak.

"Apabila kita terima laporan, siasatan akan dibuat, kumpul segala bukti berkaitan sebelum diserah kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut sama ada perlu dituduh atau tidak," katanya.
ot;1" />
Powered by Blogger.