Berita Terkini
recent

Zara Zya Serik Kena Tipu, Lebih Hati-Hati

Bercerita mengenai aktiviti pelakon Zara Zya ketika Ramadan ini, Zara memberitahu bahawa dia sibuk menghadiri majlis berbuka puasa amal dan bisnes krim Trimz Lotion miliknya.

“Bulan puasa ni saya banyak ikut aktiviti amal.  Bulan lain dah sibuk, jadi bulan inilah masanya untuk kita mengisi waktu dengan amal dan ibadah,” katanya.

Tidak betah berdiam diri, Zara turut menjalankan perniagaan dengan menjual produk pelangsingan badan, Trimz Lotion yang juga untuk kegunaan sendiri bagi mengekalkan berat badannya.

“Produk ini memang 100 peratus milik saya dan tak ada kongsi dengan sesiapa.  Serik dah kena tipu. Jadi sekarang saya buat produk sendiri, jual sendiri, promote sendiri, puas hati,” katanya.

Tambah Zara, dia bermula dengan menjual 500 botol sahaja dan dalam masa dua minggu sudah habis dijual.

Justeru, kini dia mengeluarkan 5,000 botol untuk penuhi permintaan yang semakin meningkat selain mampu mempunyai dua pekerja dan pejabat sendiri di Kota Damansara.

Lebih mengujakan pelakon Love You Mr Arrogant ini, dia bakal melancarkan produknya tidak lama lagi.

Bagi yang mengikuti drama TV9 My Sweet Lavender, yang kini sedang ditayangkan, pasti jatuh hati dengan lakonan Zara Zya sebagai seorang gadis yang hilang ingatan.

Jelas Zara, dia sedia menerima apa jua komen terhadap lakonannya.

“Saya cuba pelbagaikan watak saya dalam drama itu sebab watak orang hilang ingatan ni bukan mudah nak bawa.  Tak naklah sama saja gayanyan dalam setiap episod, kenalah ada kelainan.

Orang hilang ingatanlah katakan, jadi di sinilah cabarannya supaya penonton faham watak itu dan tak bosan,” katanya memulakan bicara.

Disebabkan mahu mencari kelainan, minggu awal Ramadan, Zara juga telah selesai menjalani penggambaran dua telemovie untuk tayangan hari raya iaitu Huru Hara Raya dan Kuih Raya Mak Leha.

Kata Zara, dua telemovie ini adalah kisah komedi dan dia seronok membawa watak kelakar kerana lakonan yang bersahaja tanpa stres.

“Biasanya kalau watak sedih-sedih tu dah biasa dapat.  Jadi memang penat nak ambil mood sedih, muka pun stres jer.  Bila dapat watak kelakar ni, memang puas hati sungguh,” katanya.

Tambah Zara, dua cerita itu dijangka bersiaran di TV9 dalam tempoh seminggu sambutan Aidilfitri.
Video mati pucuk

Tidak terlepas dengan kontroversi, Zara dikecam selepas memuat naik video pendek berkongsi mengenai permasalahan kesihatan lelaki berkaitan isu mati pucuk dan kanser prostat.
Zara yang ditemui pada majlis sidang media Program Syawal TV3 & TV9 menjelaskan perkara itu.

“Orang kita ni terlalu sensitif apabila orang perempuan menyentuh mengenai penyakit kaum lelaki, mereka tak boleh terima.

“Sebenarnya saya telah dibayar untuk menyampaikan mesej kempen mengenai mati pucuk dan kanser prostat.

“Pada mulanya memang saya tak tahu pun akan diminta bercakap pasal isu ni sehinggalah dapat skrip,” katanya yang berpendapat tidak salah untuk bercakap perkara itu kerana memang berdasarkan fakta.

Tambah Zara, masyarakat kita sepatutnya bersikap lebih positif untuk ambil tahu dan mengambil langkah pencegahan dengan melakukan pemeriksaan awal.

Pelakon ini juga berpendapat ramai lelaki yang malu membuat pemeriksaan dan berharap melalui fakta yang dikongsikan dapat membuka mata ahli keluarga pesakit untuk memberi nasihat supaya mendapatkan pemeriksaan.

“Mereka sepatutnya ambil dari sudut positif kerana saya bukannya mengutuk, sebaliknya mengingatkan dan beri kesedaran,” tegasnya.

Zara berkata, dia tidak ambil pusing dengan komen-komen negatif yang diterima dan bersedia untuk terus memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kesihatan pada masa akan datang.
Powered by Blogger.