Berita Terkini
recent

Usop mahu kongsi rezeki Aidilfitri

TIDAK dinafikan nama Usop menjadi buah mulut ramai sejak menyertai pertandingan Mentor Milenia 2017.

Meski tidak berjaya menggondol gelaran juara, namun protege Hazama ini tetap dikenali dek personaliti dan karakter lucunya.

Mengimbas kembali susur perjalanannya dalam Mentor Millenia lalu, Usop atau nama sebenarnya Muhammad Siaful Naim Muhd Noor, 20, mula mencuri perhatian khasnya netizen ketika persembahan pada konsert pengenalan mendendangkan lagu Aiman Tino iaitu Permata Cinta.


Sejak itulah, namanya pantas mendaki tangga populariti dan secara tidak langsung, muka baru dalam dunia seni suara ini tular di media sosial.

Setelah tamatnya program tersebut, bermulalah perjalanan anak jati Kulim, Kedah ini dalam realiti sebenar industri. Dia mula mengatur langkah untuk terus maju, meski cabaran terpaksa di hadapi.

Mengakui agak sukar menjalani kerjaya seni tanpa bantuan artis senior, Usop memberitahu, dia masih lagi belajar memahami selok-belok dunia seni.

Bukan insan sempurna

Katanya lagi kepada Media Hiburan, sebagai manusia biasa, dia juga tidak terlepas melakukan kesilapan dan mahu  menjadi individu yang lebih baik.

Beberapa bulan lalu, namanya sebagai pelapis penyanyi baru berbakat sedikit tercalar apabila dikatakan kurang mesra media, malah enggan memberikan nombor telefonnya kepada rakan media bagi tujuan temu bual.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Usop secara ikhlas meminta maaf, sekali gus mengakui khilaf  itu.

“Saya masih lagi baru. Tak tahu sama ada mereka mahukan nombor saya untuk tujuan apa. Saya juga tak kenal lagi rakan-rakan media.

“Jadi sukar untuk pastikan mana satu yang betul dan sebaliknya. Apa pun, di bulan yang baik ini, saya minta maaf andai ada pihak yang terasa. Memang tak ada niat  buat macam tu. Sebagai artis baru, sudah tentu saya pun perlu sokongan media.

“Pihak pengurusan ada memberikan nasihat berhubung perkara ini dan kalau boleh, saya mahu jernihkan keadaan,” katanya yang turut mengambil pesan Hazama sebagai tip terbaik yang perlu diguna pakai setelah bergelar artis profesional.

Kata Usop, mentornya mahu dia berusaha sendiri dan lakukan semua perkara sendiri supaya boleh belajar.

“Jadi sejak saat itulah, saya mula berdikari dan cuba menempatkan diri dalam industri dengan bantuan dan tunjuk ajar pihak pengurusan,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai perkembangan seninya, Usop memberitahu pada fasa sekarang, dia masih lagi mencari lagu sesuai untuk single pertama.

Tambahnya, dia sudah menerima beberapa lagu namun terpaksa ditolak dengan cara baik kerana dirasakan kurang ‘kena’ dengan jiwanya.

“Kalau boleh saya mahukan lagu yang ada unsur 90-an, tangkap leleh dan jiwang.  Akim Rusli pun ada bagi lagu untuk saya dengar. Apa pun, saya perlu pilih yang terbaik demi memuaskan hati peminat.

“Dalam masa terdekat ini pun, saya mungkin akan nyanyikan lagu runut bunyi untuk sebuah drama,” ujar Usop yang bakal menyambut 1 Syawal di Kedah.

Kerja malam raya

Sambil mengakui kehidupannya kini sudah pun berubah 360 darjah, Usop memberitahu dia terpaksa bekerja pada malam raya.

“Saya terlibat dalam program Pop TV Raya dan selepas itulah, saya akan pulang ke kampung. Yelah, jalan ini yang saya pilih. Jadi perlulah laluinya dengan hati terbuka. Kalau dulu, kami adik-beradik dah berkumpul pada malam raya buat persiapan apa yang patut," cerita Usop lagi.

“Tapi pada tahun ini, saya perlu bekerja.

“Sebelum ini ibu bapa yang membantu saya, jadi biarlah sekarang jadi tugas saya pula  jaga mereka.

"Memang saya pun ada niat tahun ini, nak belikan baju raya untuk mak ayah dan adik -adik," ujarnya.

Kata Usop, berkongsi rezekinya bersama insan tersayang cukup bermakna buat dirinya.

"Alhamdulillah atas segala nikmat yang dikurniakanNya pada saya,” bicara Usop yang sangat bersyukur dan sudah membuat pilihan untuk berkongsi rezeki bersama keluarga sempena raya ini.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.