Berita Terkini
recent

UNIC selesa bertiga

Meskipun wajah ahli kumpulan ini berubah silih berganti, kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai UNIC tetap utuh dalam memperjuangkan irama muzik nasyid.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2002 itu asalnya dianggotai empat orang iaitu Bazli Hazwan Che Osman, Mohamad Fitri Mohamad Haris, Wan Sharifuddin Wan Hassan dan Mohd Afendi Jahri.

Bagaimanapun, pada tahun berikutnya ada ahli yang mengundurkan diri diganti ahli baru.

Bagaimanapun, itu bukanlah penghalang untuk kumpulan nasyid yang popular dengan lagu Ainul Mardhiah terbabit untuk terus kekal memperjuangkan muzik yang mereka bawa.

Apa yang pasti sokongan peminat setia terhadap kumpulan nasyid itu tidak pernah berbelah bahagi.

Kini, kumpulan yang baru saja menjuarai program Gema Gegar Vaganza (GGV) baru-baru ini tampil dengan tiga ahli iaitu Bazli Hazwan, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin dan Wan Najdi Wan Mohd Noh.

“Alhamdulillah, UNIC hari ini sudah menapak lebih 15 tahun lamanya. Buat masa ini, kami

selesa bergerak secara bertiga. Tak ada perancangan untuk mencari ahli kumpulan yang baru.

“Lagipun bukan mudah untuk mencari ahli baru. Banyak proses perlu dilalui. Apa yang kami miliki ini barangkali sudah melengkapkan muzik yang dibawakan,” kata Bazli.

Melihat dua orang ahlinya, mereka sememangnya boleh dikategorikan sebagai pelengkap yang cukup sempurna.

Ini kerana, Mohd. Fakhrul seorang qari yang juga juara Akademi Al-Quran, manakala Wan Najdi pula bekas peserta Imam Muda.

“Saya paling muda dalam kumpulan ini.

Baru menyertai kumpulan ini tahun lalu. Sebelum ini pun, saya memang ada menyanyi dengan menghasilkan lagu zikir.

“Saya rasa bertuah kerana dapat bersama-sama memperjuangkan nasyid bersama kumpulan UNIC ini,” jelas Wan Najdi.

Sementara itu, kata Mohd Fakhrul, mereka juga mahu menjadikan kumpulan nasyid ini bukanlah sebagai satu kumpulan yang sering dikaitkan dengan imej klise seperti berjubah.

“Bagi yang mengikuti perkembangan kami, pendekatan yang kami gunakan cukup berbeza. Kalau boleh, mahu orang ramai lebih dekat dengan kami untuk sampaikan mesej dalam lagu.

“Kami mahu buktikan penyanyi nasyid juga versatil,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.