Berita Terkini
recent

Tetap teruskan majlis kahwin

Meskipun dokumen dan barang-barang hantaran perkahwinan hangus bersama kereta miliknya namun seorang supervisor nekad untuk meneruskan perkahwinannya yang bakal berlangsung pada 5 Ogos depan.

Mohamad Ishak, 24, berkata, hasratnya untuk berkahwin dengan gadis Manjung, Perak akan diteruskan walaupun dugaan yang dihadapinya begitu berat kali ini.

"Semua barang-barang berkenaan disimpan dalam kereta Perodua Viva saya yang diparkir berdekatan deretan rumah dan gudang yang terbakar.

"Bahkan baju raya saya, ibu bapa dan adik yang berada dalam kenderaan itu turut hangus," katanya.

Beliau merupakan salah seorang daripada 18 keluarga yang terlibat dalam kebakaran rumah di Jalan Hasan, Sungai Udang lewat petang semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang, 18 keluarga yang terdiri daripada lapan warga tempatan dan 10 warga asing tinggal sehelai sepinggang selepas 10 rumah sewa termasuk gudang perabot musnah dijilat api.

Mohamad yang berasal dari Pendang, Kedah berkata, sebenarnya dia bercadang untuk menghantar dokumen, barang hantaran dan baju raya kepada keluarganya bila pulang ke kampung untuk beraya minggu depan.

"Belum sempat buat apa-apa semua musnah, saya memang sedih dan amat terkejut dengan dugaan yang amat berat di saat kita nak sambut raya kali ini," katanya sebak.

Pada masa sama, gudang perabot miliknya yang menjual perabot terpakai dan turut menjadi kediamannya bersama seorang saudara turut hangus dijilat api menyebabkan dia kerugian lebih RM100,000.

Menceritakan detik kejadian, dia yang turut berniaga pulut udang dan air soya di bazar Ramadan Simpang Empat Sungai Udang berkata, sebelum kejadian itu dia memang rasa berat hati hendak meninggalkan gudang perabotnya yang disewa sejak tiga tahun lalu.

"Biasanya saya pergi meniaga jam 4.30 petang tetapi semalam jam 5.30 baru saya pergi.

"Selang sejam kemudian, saya dapat panggilan memaklumkan kebakaran itu dan sebaik tiba di lokasi jantung saya bagaikan terhenti menyaksikan kereta dan gudang sedang dijilat api," katanya.
Powered by Blogger.