Berita Terkini
recent

Tania Hudson Si ‘Kampung Girl’

Siapa sangka, di sebalik darah kacukan yang mengalir, Tania Nadira Hudson atau Tania Hudson sebenarnya seorang yang lasak dan suka suasana kampung.

Pelakon berusia 31 tahun ini akan melakukan pelbagai aktiviti lasak jika pulang ke kampung.
“Insya-ALLAH seperti biasa, dua hari sebelum raya, saya akan pulang ke kampung sebelah emak di Tapah, Perak sehingga raya ketiga.

“Walaupun nampak saya lembut, tapi saya suka melakukan aktiviti lasak bersama sepupu,” ceritanya.
Kata Tania, dia suka memancing, mandi air terjun dan main baling selipar.

“Walaupun dah besar, berhari raya di kampung tetap jadi pilihan saya. Kami pernah cuba sambut lebaran di Kuala Lumpur tahun lepas tapi saya tidur seharian sebab terlampau bosan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain ketenangan, Tania berkata, dia dapat menikmati pelbagai juadah tradisi.
“Lontong, soto, rendang, lemang, kuah kacang antara menu wajib hari raya dan jangan terkejut kalau saya kata saya kuat makan.

“Lagipun bila balik kampung memang seronok sebab mak ada 12 adik beradik, jadi bayangkan kemeriahannya bila dapat berkumpul beramai-ramai,” ujarnya.

Berkongsi perkembangan terkini, adik kepada Natasha Hudson ini baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Mariana.

Selain itu dia juga akan muncul dalam telefilem Mahram pada hari raya ini.

Tambah Tania, sepanjang Ramadan dia menjalani beberapa penggambaran dan hanya bersama keluarga jika tiada sebarang urusan kerja.

“Insya-ALLAH filem Abang Long Fardil 2 akan disiarkan di pawagam Ogos ini dan saya akan sibuk dengan promosi selepas raya.

“Filem KL Special Force dijangka akan ditayangkan di pawagam hujung tahun ini atau awal tahun depan,” akhirinya.
Powered by Blogger.