F Sudirman terlalu istimewa | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Sudirman terlalu istimewa

Setiap kali mendendangkan semula lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, seakan memberikan kepuasan kepada penyanyi utama kumpulan Azlan & The Typewriter, Nor Azlan Rosle.

Walaupun tidak mengenali penghibur nombor satu Asia itu secara peribadi, Azlan akui karya dan lagu-lagu dendangkan Allahyarham sentiasa dekat dalam dirinya.

Apabila berpeluang menulis lirik lagu Idola bersama Audi Mok, Azlan menjadikan Sudirman sebagai idola dan menjadikannya sebagai inspirasi dalam penulisannya. Lagu tema untuk filem Muzikal Hoore! Hoore! itu mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan.

Berkongsi cerita mengenai penyanyi yang sangat diminatinya itu, Azlan menyifatkan Allahyarham sebagai penggiat seni dan penghibur sangat unik.

“Dia satu dalam sejuta dan tidak ada yang mampu menggantikan tempatnya. Walaupun saya tidak mengenali Sudirman secara peribadi, karya dan lagu-lagunya sentiasa dekat dalam diri saya,” katanya.

Azlan yang menceburi bidang nyanyian bersama kumpulan Meet Uncle Hussain dan kini menubuhkan kumpulan sendiri, Azlan & The Typewriter akui, sejak kecil hingga remaja memang dia membesar dengan lagu dendangan Sudirman.

Katanya, hampir semua ahli keluarganya termasuk ibu dan bapanya meminati Allahyarham. Malah mempunyai koleksi album Sudirman.

“Boleh dikatakan hampir semua lagu yang didendangkan Sudirman mempunyai maksud mendalam. Ia juga memberi kesan kepada saya dan tidak dinafikan karya-karya Sudirman banyak mempengaruhi saya secara tidak langsung,” katanya.

Dikenali dengan vokal unik, Azlan mengagumi kelebihan yang ada pada Sudirman iaitu kesungguhan dalam memberikan yang terbaik.

Katanya, Sudirman dilihat ikhlas dalam berkarya dan ini boleh menjadi contoh kepada penggiat seni seangkatannya mahupun lebih muda.

“Setiap lagunya menyentuh kehidupan masyarakat secara menyeluruh. Walaupun ada yang kata lagu didendangkan ada kaitan dengan kehidupan peribadi Allahyarham, sebenarnya perasaan dizahirkan dalam setiap karya boleh dikongsi oleh kita semua.

“Penghayatan Sudirman dalam setiap lagu didendang­kannya sangat tinggi. Itu sebabnya kalau kita dengar lagu dendangannya, ia memberi kesan mendalam kepada kita semua.

“Contohnya lagu Salam Terakhir, kita boleh menangis kalau hayati dendangannya dan memahami setiap bait lirik didendangkan,” katanya.

Azlan juga menyifatkan nyanyian Sudirman sebagai benar-benar hidup dan berjaya menyentuh setiap hati peminat industri muzik yang mendengarnya.

“Ia juga menjadi kunci utama mengapa setiap lagu Sudirman terus segar dan diminati hingga sekarang. Disebabkan ia menyentuh setiap masyarakat menyebabkan lagu-lagu dendangannya menjadi malar segar,” katanya.

Disebabkan terlalu meminati Sudirman apabila Astro mempelawanya menjayakan projek Aku Sudirman dan menghasilkan lagu tema untuk runut bunyi filem Muzikal Hoore! Hoore!, yang didedikasikan kepada Allahyarham, dia menerimanya dengan tangan terbuka.

Bagi Azlan, Sudirman adalah pengkarya dan penghibur sangat bijak.

Katanya, memang kalau hendak diikutkan kita ada Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang sangat membanggakan tetapi kedua-duanya mempunyai latar berbeza.

“Perlu saya tegaskan, P Ramlee memang mempunyai pengetahuan asas dalam bidang muzik tetapi tidak Sudirman yang mempunyai kelulusan dalam bidang perundangan.

“Bagaimanapun, apabila dia menjadi penyanyi, semua lagu dihasilkan muncul popular pada zamannya hinggalah sekarang.

“Bayangkan sebagai penyanyi, dia kenal karya mana yang bagus dan tidak. Tidak itu saja, dia juga berusaha dan bekerja keras bagi memastikan apa yang dipersembahkan kelak dapat memuaskan hati peminat,” katanya.

Katanya, sebagai seorang yang tidak mempunyai asas dalam bidang muzik tetapi mampu menghasilkan karya yang bagus memerlukan seseorang penyanyi itu bekerja keras mengutip ilmu dan sekali gus memastikan apa yang dipersembahkan itu kedengaran dan nampak sempurna.

“Itulah istimewanya Sudirman,” katanya.

Powered by Blogger.