F Seronok tapi mencabar - Hanie | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Seronok tapi mencabar - Hanie

TUGASNYA sebagai koordinator penyelaras artis dan penonton (Talent Artist Coordinator) memerlukan Haniera Aina Rohailan sentiasa bertemu dengan orang ramai termasuk golongan selebriti.

Secara tidak langsung, kerjaya itu membuka peluang kepada Haniera Aina atau lebih mesra dipanggail Hanie mengenali dunia glamor.

Walaupun dilihat sebagai sesuatu yang menyeronokkan, hakikatnya pelbagai cabaran perlu dihadapi  anak jati Kuantan, Pahang ini sepanjang berkhidmat di Astro lebih lima tahun lalu.


“Saya rasa semua orang suka berjumpa dengan artis terkenal apatah lagi bekerja bersama mereka.

“Memanglah seronok, tapi sebenarnya banyak cabaran. Walaupun bukan semua tapi ada artis dengan kerenah dan ragam sendiri.


"Ada permintaan yang keterlaluan tapi saya kena berusaha tunaikan,” katanya kepada Media Hiburan.

Bukan sahaja selebriti, dia juga perlu berdepan sikap negatif penonton terutama ketika program berskala besar seperti Maharaja Lawak Mega.

Katanya, ada penonton yang suka memaki hamun sedangkan mereka tidak mematuhi syarat seperti datang lewat, kehabisan tempat duduk, berselipar dan berseluar pendek.

Bagaimanapun kata Hanie, dia perlu bijak mengendalikan situasi agar tidak berlaku kejadian yang lebih buruk.

Mengulas lanjut, katanya, koordinator penyelaras artis dan penonton berperanan menjaga kedua-dua kelompok yang terlibat dalam sesuatu program.

Hanie bertanggungjawab memberi call time, menjaga sesi photoshoot, mengurus kontrak termasuklah  pembayaran selain menjaga artis di belakang pentas bagi memastikan mereka bersedia terutama bagi program yang bersiaran secara langsung.

Antara program yang dikendalikan oleh graduan Diploma Kewartawanan dari Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) ini ialah Maharaja Lawak Mega, Gegar Vaganza dan Anugerah MeleTOP Era.

“Saya pilih kerja ni sebab seronok berjumpa dengan pelbagai individu. Lagipun saya tak suka sekadar duduk di pejabat," katanya yang juga tidak gemar kerja-kerja penyuntingan walaupun mempunyai kelulusan dalam bidang kewartawanan.

Beri kepuasan tersendiri

Walaupun ada yang memandang rendah kerjayanya itu, Hanie mengakui ia memberi kepuasan tersendiri.

“Saya tahu ada yang memandang kerja ini remeh selain menganggapnya sebagai ‘kerja kuli’," katanya.

Namun bagi Hanie, setiap kerja yang dilakukan perlu selesa terutama apabila membabitkan persekitaran dan rakan sekerja supaya setiap perkara yang dilakukan berjalan lancar.


“Saya tidak meletakkan apa-apa sasaran dalam kerjaya ini, cuma apa yang saya inginkan adalah kepuasan,” katanya.

Bagaimanapun, Hanie berharap kerjayanya dapat  memberikan sumbangan kecil dalam sesebuah  program sekali gus membantu industri hiburan tanah air agar lebih maju.

“Jadi, siapa pun anda, sebelum tengok orang di hadapan pandanglah siapa yang berada di belakang dalam program itu. Mereka inilah yang bertungkus-lumus memastikan semuanya sempurna dan berjalan lancar,” katanya yang bermula sebagai pekerja praktikal di Astro Awani.

Powered by Blogger.