Berita Terkini
recent

Seri bakal ibu

Melihat wajah Acha Septriasa, 27, pengikutnya di laman sosial akui bintang Heart itu makin berseri-seri. Jelas terserlah seri ibu sebaik penyanyi yang popular dengan lagu Berdua Lebih Baik itu mengumumkan kehamilannya.

Acha yang berkahwin dengan Vicky Kharisma pada 11 Disember 2016, berkongsi berita gembira kehamilannya selepas tiga bulan berkahwin. Mereka juga mengadakan majlis kesyukuran atas berita gembira itu pada 30 Mei lalu.

Kini memasuki trimester kedua, Acha yang kini tinggal di Sydney, Australia kerana mengikut suami yang bekerja di sana, berkongsi rahsia dia kelihatan berseri sejak hamil.

Katanya, dia menerima segala perubahan yang berlaku di tubuhnya dengan positif dan menjalani kehamilan tanpa beban.

“Saya menjaga kecantikan kulit dan penampilan ketika hamil seperti minum air mineral yang cukup sekitar tiga liter sehari.

“Saya juga makan salad dan sayuran dengan lebih banyak. Selain itu, saya akan memastikan mengoles pelembap muka sebelum tidur dan selepas mandi pada setiap pagi,” katanya.

Mengimbas kali pertama mengetahui dirinya hamil selepas mencuba pek penguji kehamilan, kata Acha, ketika itu dia menyedari lewat datang haid selama 10 hari selepas ditanya rakannya.

“Ketika itu saya sedang minum bersama rakan, Tia di kafe dan dia bertanyakan mengenai tempoh menstrual saya kerana dia mendapati saya banyak minum kopi setiap kali kami bertemu.

“Dia mencadangkan saya membeli alat uji kehamilan sekadar untuk mencuba. Jadi saya mengikut nasihatnya dan pergi membeli tanpa memberitahu suami.

“Keesokan paginya, sebelum mengambil wuduk solat Subuh, saya mencuba alat berkenaan tanpa melihat keputusannya. Selepas solat, saya mengejutkan suami dan memberitahu berita baik itu,” katanya teruja.

Kata Acha, suaminya yang masih tidur lantas bangun dan mereka ternyata menikmati berita baik itu bersama untuk diabadikan sebagai momen wajah bakal bergelar ayah dan ibu.

“Bagaimanapun, kami mengambil keputusan untuk tidak memberitahu sesiapa sehinggalah mendapat kepastian daripada doktor,” katanya.

Selama hamil, Acha akui mengurangkan pengambilan air soda dan makanan segera. Dia juga menjauhi makan kerang dan makanan yang tidak sesuai untuk ibu hamil.

Katanya, dia gembira kerana tahun ini kali pertama menjalani Ramadan sebagai pasangan dan mereka juga berada jauh dari tanah air. Pengalaman itu diakui sangat mengubah pandangan hidupnya.

Katanya, menjadi isteri dan bakal ibu, dia perlu banyak belajar dan akui ia proses tanpa batas Dia harus lebih peka dan bersedia menguruskan rumah tangga.

“Saya kini belajar membangunkan suami untuk sahur, masak untuk berbuka puasa dan tetap mengingatkan suami mengenai solat Tarawih. Kebiasaannya kami lakukan berdua.

“Sudah tentu kami menjadikan momen itu untuk mendekatkan diri kepada Allah sebagai pasangan. Selama ini kita diajarkan kesabaran dan ketulusan oleh kehidupan tetapi sekarang dengan memiliki keluarga, saya lebih mempunyai tujuan yang pasti,” katanya.

Selain mengurus rumah tangga seperti menyiapkan keperluan suami bekerja, memasak dan memastikan rumah dalam keadaan rapi, dia harus selalu memberi sokongan buat keluarga.

Acha akui dia bertuah kerana suaminya sama-sama memjaga rumah tangga dan banyak membantunya seperti mengurutnya ketika keletihan malah membuatkan susu waktu malam.

“Vicky juga pandai memasak dan rajin menggosok baju. Dia masih suka mengajak saya makan di luar seperti makan malam berdua di tempat yang baru dan belum pernah saya kunjungi. Dia suami yang sentiasa membuatkan hati saya bahagia,” katanya bakal melahirkan September nanti.

Kata Acha, sebelum ini dia tidak pernah menyangka akan menjalani kehidupan di luar negara. Hidup berdua di Sydney membuatkan mereka lebih berdikari.

“Saya bahagia hidup di negara orang, apa lagi tanpa bantuan pembantu rumah. Perhubungan kami suami isteri menjadi berbeza dan saya sangat gembira mengetahui hakikatnya nanti anak saya akan mendapat masa berkualiti bersama ayah dan ibunya.

“Kami menyelesaikan persoalan rumah tangga bersama malah memberi komitmen terhadap semua penyelesaian dengan memberikan kata sepakat tanpa ada campur tangan orang lain,” katanya.

Tahun ini juga, Acha dan Vicky menyambut Syawal di rumah mereka di Sydney. Acha membayangkan mereka akan berjemaah bersama di masjid berdekatan rumah. Malah sudah terbayangkan menu ayam opor dan daging balado kentang pedas sebagai juadah raya kelak.

Bintang filem Kartini itu akui terharu dengan sambutan diberikan terhadap filem itu. Katanya, buat masa ini dia mengurangkan aktiviti seninya tetapi sedang mempertimbangkan tawaran menjadi duta produk susu untuk wanita hamil dan nutrisi bayi.

Katanya, untuk duta produk dia mendahulukan yang benar-benar sesuai untuknya. Ada satu lagi jenama yang akan dipertimbangkan sebagai duta dan ia berkaitan dengan alat rumah tangga dan kelengkapan pasca melahirkan.

Untuk peminat yang merindukan Acha di layar perak, filem terbaru lakonannya, Cinta Dua Kodi bakal ditayangkan tahun hadapan.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.