Berita Terkini
recent

Semua dah jadi suami orang!

Lebaran buat Bunkface cukup meriah tahun ini memandangkan masing-masing sudah mendirikan rumah tangga. Ia bermakna keluarga mereka semakin besar dan pasti banyak rumah perlu dikunjungi.

Namun apa yang paling menggembirakan Sam dan Youk semestinya beraya pertama kali sebagai ayah sementara Paan turut serta teruja memandangkan dia juga bakal memegang gelaran sama.

Keterujaan itu jelas dirasa dalam segi persiapan kerana menurut Sam dan Youk, mereka lebihkan perhatian kepada cahaya mata masing-masing.

“Semestinya kali ini persiapan lebih kepada anak dan itu yang menjadikan raya kami istimewa. Perasaan beraya dengan kehadiran anggota baru dalam keluarga memang sangat mengujakan.

“Beberapa hari pertama Aidilfitri tahun ini kami bersama isteri dan anak. Sekitar raya keempat atau kelima barulah ke rumah sahabat handai pula,” kata mereka.

Berkongsi lanjut pengalaman bergelar ayah, menurut Sam ia satu perasaan yang cukup luar biasa. Ia benar-benar mengubah perspektif hidupnya kini.

Meskipun tiada pengalaman langsung menjaga bayi sebelum ini, dia berasakan pembelajaran baru itu sesuatu yang sangat disyukurinya.

“Nasihat saya kepada semua jejaka, dirikanlah rumah tangga. Mendapat cahaya mata memang akan mengubah dimensi hidup kita.

“Memang banyak rutin hidup akan berubah dan saya kena bantu isteri menguruskan Malique. Tapi itulah keseronokan sebenarnya bergelar ayah.

“Daripada segi itu juga proses kematangan berjalan seiring dengan pengalaman baru,” ujarnya.

Bakal menimang cahaya mata sekitar Oktober nanti, Paan pula tidak terlalu risau atau teruja. Dia cuma tenang saja namun mengakui tidak sabar menjadi bapa.

“Buat masa ini, saya tenang saja dulu. Tidak juga beria-ia mahu bertanyakan tip itu ini daripada Sam dan Youk,” katanya.

Buka studio, rekrut bakat baru

Selama 10 tahun dalam industri, Bunkface mengakui sudah tiba masanya untuk mereka menyumbang kembali dalam industri.

Langkah pertama mereka lakukan kini adalah dengan penubuhan studio baru dan menurut mereka ia bertujuan untuk kerja jangka masa panjang.

Sam berkata, mereka juga dalam proses mencari bakat baru untuk bernaung di bawah mereka. Bagaimanapun, dia meletakkan syarat ketat dan begitu selektif.

“Sudah tiba masanya kami menyumbangkan sesuatu dalam industri. Kami mahu melahirkan bakat muzik yang berkualiti.

“Dengan kewujudan studio itu, kami akan lebih terarah kepada penerbitan muzik buat bakat naungan kami.

“Tidak kira band atau solo, kami mahu pastikan bakat itu nanti memiliki kualiti yang terbaik. Genre tidak semestinya seperti Bunkface, asalkan ia berkualiti dan diterima baik oleh pendengar,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Bunkface akan melancarkan single terbaru berjudul Kembali dalam masa terdekat. Pastinya ia hadiah menarik untuk pendengar setia Bunkface.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.