F Sebumbung tapi jarang semeja | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Sebumbung tapi jarang semeja

Meskipun bekerja sepejabat di bawah bumbung yang sama namun kerana jadual kerja yang berbeza mereka agak jarang dapat berkumpul bersama. Kalau terjumpa hanya sempat berselisih bahu dan bertanya khabar sepatah dua sebelum berlalu pergi untuk menyiapkan kerja masing-masing apatah berpeluang untuk duduk makan semeja, memanglah jauh sekali.

Benarlah, Ramadan yang sedang dijalani kini bukan saja menjanjikan pahala yang berganda kepada mereka yang rajin mencari keberkatan Ilahi malah mengeratkan lagi persahabatan. Siapa pun kita, miskin atau kaya, waktu berbuka adalah detik yang paling dinantikan. Ketika inilah ada yang mula mencari kawan untuk diajak berbuka kerana suasana lebih meriah jika ada orang yang menemani kita.

Menyambut bulan puasa yang mulia ini, empat selebriti TV Alhijrah terus membuat perancangan awal untuk berbuka bersama-sama. Lalu Farahanim Abd Razak, 27, Syafinaz Yunus, 32, Adi Akmal Sehrom, 31 dan Ardi Herman Mohd Mardzi, 30, berbuka di WP Hotel Kuala Lumpur kerana kebetulan ada rakan yang mencadangkan mereka merasai juadah berbuka di sana.

Sambil menjamah, mereka bertukar cerita apatah lagi Farahanim yang tidak sabar untuk menjalani ibadah puasa dan berhari raya buat kali pertama dengan suami, Dr Arif Aibin Shamsuri, 27. Pasangan itu baru saja mendirikan rumah tangga pada 17 Mac lalu.

Bagaimanapun, mereka terpaksa tinggal berjauhan kerana sejak awal tahun lalu suaminya bertugas di Hospital Kangar, Perlis.

“Apabila tinggal jauh kami seperti pasangan yang sedang bercinta kerana selalu menunggu waktu terluang untuk berjumpa. Namun, pada Ramadan kami dapat berbuka bersama kerana suami akan bercuti dan balik ke KL (Kuala Lumpur). Mujur dia seorang yang tidak begitu cerewet dalam soal makan.

“Syukur tahun ini saya dapat bercuti dan kami sudah berbincang untuk menyambut Aidilfitri ini di kampung saya di Jengka, Pahang. Dari segi persiapan, biasa saja kerana belum ada anak lagi. Adalah baju raya sehelai dua, yang lain baju yang ada saja,” katanya.

Farahanim adalah pengacara program Assalammualaikum dan bual bicara Soal Wanita di stesen TV itu.

Syafinaz pula yang sudah empat tahun menjadi pembaca berita di stesen TV sama, jarang dapat berbuka dengan suami, Muhammad Sallehuddin Mohd Nor, 37 dan anak tunggalnya, Raikhan Wildan, 6.

Kata Syafinaz, dia bersyukur kerana suaminya tidak pernah komplen dan biasanya dia bersama anak akan berbuka di masjid. Bagaimanapun, Syafinaz tidak ralat sangat kerana mereka masih dapat bersahur bersama-sama.

“Boleh dikatakan daripada pengalaman Ramadan yang lalu, saya dapat berbuka dengan mereka tak sampai 10 kali. Bagaimanapun saya gembira kerana tahun ini cuti raya saya luluskan, jadi dapatlah saya meluangkan banyak masa dengan mereka.

“Syawal ini kami beraya di kampung saya di Jasin, Melaka. Suami orang Negeri Sembilan. Pernah ketika mula bekerja dulu, saya berhari raya di studio. Menangis teringat emak di kampung. Apabila sudah berkahwin, jika kena baca berita pagi, selepas selesai terus balik ke kampung suami.

“Selain membaca berita saya juga mengacarakan segmen Analisis yang bersiaran setiap Sabtu dan Ahad, selama 10 minit, dari jam 8.20 hingga 8.30 malam. Alhamdulillah saya mendapat kerja yang memang menjadi minat saya dan tidak gentar dihantar membuat liputan di negara bergolak seperti di Gaza, Palestin, Syria dan Mesir,” katanya.

Manakala menurut wartawan kanan dan juga pembaca berita, Adi Kamal, dia berbuka ala kadar saja kerana terpaksa bersiap untuk membaca berita jam 8 malam.

“Kedengaran azan Maghrib, teguk air sedikit, bersolat dan sambil disolek saya jamah sedikit makanan. Saya masih bujang jadi tiada masalah sangat. Jika tidak bertugas, saya lebih suka berbuka di masjid yang berlainan,” katanya.

Mulai 29 Mei lalu, Adi mengacarakan program baru berjudul Mimbar.

Adi juga sebenarnya adalah salah seorang anggota kumpulan nasyid Devotees yang ditubuhkan pada 2005.

“Devotees masih aktif dan kalau ada undangan persembahan, terpaksalah saya mencari ruang untuk bersama anggota lain,” katanya.

Sementara itu, Ardi Herman yang juga Penerbit dan pembaca berita, beritahu jadual kerjanya pada Ramadan dan hari biasa, tidak banyak berubah.

“Saya lebih banyak berbuka di studio daripada di rumah. Sebelum ke udara, saya makan sedikit saja. Isteri saya, Dewita Susila Yusrizal, juga bekerja di TV AlHijrah di bahagian Pusat Sumber Maklumat dan dia bekerja waktu pejabat.

“Kalau saya bertugas membaca berita hari itu, dia akan balik berbuka di rumah. Walaupun jadual kerja saya tidak tetap namun tiada masalah kerana masing-masing sudah faham rutin saya dalam bidang penyiaran,” katanya.
ot;1" />
Powered by Blogger.