F Sasha cabar diri | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Sasha cabar diri

Menggunakan segala kelebihan diri menjadi misi utama pendatang baru ini dalam usaha menyerlahkan namanya di persada seni tempatan.

Sasha Nichole, 26, mungkin asing bagi pencinta muzik di Malaysia tetapi dia akrab dengan ramai penggiat industri.

Penyanyi yang berpangkalan di Melbourne, Australia ini menjadikan nyanyian sebagai medium baru untuk mencabar kreativiti diri.

“Saya sukakan muzik sejak kecil. Jadi apabila dapat peluang merakamkan lagu, saya perlu manfaatkannya sebaik mungkin.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa, cukup dengan mencabar diri menghasilkan single pertama berjudul Selama-lamanya. Bekerja dengan komposer dan penyanyi berpengalaman lain memang satu pengalaman berharga.

“Menerusi single yang menyaksikan saya berkolaborasi dengan Altimate, semoga ia jadi permulaan yang baik,” katanya.

Walaupun menetap di Melbourne, Sasha mengakui cita rasa muziknya lebih cenderung kepada penyanyi Malaysia.

Meskipun berhijrah ke negara itu ketika remaja, dia sedikit pun tidak melupakan tanah air.

“Saya masih menyimpan kaset Datuk Siti Nurhaliza dan Rossa kerana terlalu sukakan mereka. Bahkan jika memandu kereta, saya akan pasang lagu mereka.

“Memang ramai juga penyanyi antarabangsa yang saya minat tapi ia langsung tidak menggugat kerinduan saya terhadap lagu Melayu,” katanya.

Bermula agak lewat pada usia sekarang, Sasha tidak melihat ia sebagai satu masalah.

Menurut graduan kewartawanan itu, laman sosial banyak membantunya berkongsi bakat dengan orang ramai.

“Saya sangat sukakan dunia kreatif. Apa sahaja aktiviti menjurus ke arah itu, saya akan berikan sepenuh komitmen.

“Sama seperti nyanyian, saya bertemu dengan orang yang betul dan single dihasilkan pun sangat menepati cita rasa saya,” katanya.

Ditanya adakah dia akan meneruskan kerjaya dalam dunia kewartawanan, Sasha berkata ia tidak ada dalam senarai impiannya sebaliknya lebih berminat mencurahkan kreativiti di media sosial.

“Saya menekankan penulisan yang bagus untuk setiap perkongsian di Instagram.

“Selain itu, saya juga ada blog sendiri yang memberikan kebebasan untuk saya menulis apa sahaja. Setakat ini saya menggunakan kedua-dua medium ini kerana lebih mudah dan praktikal,” katanya.

Powered by Blogger.