F Sambutan luar biasa artis, selebriti tanah air | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Sambutan luar biasa artis, selebriti tanah air

PROGRAM mengaji al-Quran secara beramai-ramai selama satu jam, Malaysia #QuranHour berlangsung dengan jayanya di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dengan penyertaan lebih 5,000 orang termasuk jemputan kenamaan dan selebriti tanah air, semalam.

Selain di lokasi perdana, Malaysia #QuranHour turut berlangsung di lokasi-lokasi lain di seluruh negara sama ada di masjid, surau, pejabat, sekolah, kediaman dan di mana-mana sahaja.

Selama satu jam, umat Islam di seluruh negara membaca al-Quran secara serentak sama ada secara berkumpulan, berdua mahupun secara bersendirian bagi menyokong kempen untuk mendekatkan kembali al-Quran dalam kehidupan sehari-hari menerusi tema Bangsa Berbudi dan Penyayang.

Majlis yang bermula sekitar jam 11.30 pagi itu, turut menyaksikan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang sama-sama menyertai acara ini.

Malaysia #QuranHour ini kesinambungan program #AktifkanRumahNgaji yang kini semakin mendapat perhatian daripada masyarakat dari pelbagai peringkat umur.

Memasuki tahun ketiga penganjuran, acara ini berjaya menarik perhatian golongan artis dan selebriti untuk turut sama menyatakan sokongan malah turut sama menyertai acara yang berlangsung semalam.

Malaysia #QuranHour berjaya menghimpunkan para penggiat seni seluruh negara yang terdiri daripada kalangan penyanyi, pelakon, pengacara, pelawak, penyampai radio dan TV selain pengkarya belakang tabir yang duduk seketika mengalunkan ayat suci al-Quran bersama-sama selama satu jam serentak di seluruh negara.

Antara yang hadir Datuk Rosyam Noor selaku Ikon Rumah Ngaji, Azmi Caliph Busker, kumpulan UNIC, Diana Amir, Fizo Omar, Lah VE, Munif Hijjaz, Amin Idris, Sahri AF, Farahdiba, Suhaimi Sulaiman, anggota Raihan dan ramai lagi.


Biarpun sibuk dan terikat dengan jadual kerjaya seni yang padat, mereka tidak mahu ketinggalan meluangkan masa dan menjadi sebahagian daripada mereka yang terlibat dengan acara yang sangat istimewa ini.

Lebih menarik Datuk Rosyam Noor turut sama mengetuai bacaan surah Al-Aadiyat, sementara Azmi Calip Buskers dan Munif Hijjaz pula masing-masing untuk surah Al-Maun dan Surah At-Takathur.

Tidak ketinggalan juga Qari Junior Harith, Qari Junior Hadif, Tahfiz Muda Aqil, PU Amin, Da’i Annas, Da’i Hazman dan Azlan Omar (penyampai radio RMKL).

Menarik perhatian masyarakat

Menariknya penyertaan para artis dan selebriti tanah air ini turut sama menarik perhatian golongan peminat dan pengikut mereka bersama-sama mengangkat kesucian kitab suci al-Quran sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

Kempen secara berterusan oleh artis dan selebriti tanah air itu, mengajak masyarakat turut sama menyertai acara ini ternyata memberikan kesan yang cukup positif dan membanggakan.

Kehadiran dan penyertaan para penggiat seni ini membuktikan bahawa mereka tidak hanya mengutamakan acara berbentuk hiburan semata-mata, tetapi terlibat dengan acara seumpama ini.

Rata-ratanya meluahkan rasa gembira kerana dapat meluangkan masa dan menjadi sebahagian daripada umat Islam yang menyertai Malaysia #QuranHour.

Seiring status mereka sebagai figura awam yang mempunyai pengaruh cukup besar dalam masyarakat, golongan penggiat seni juga mengharapkan penglibatan mereka dalam acara ini memberikan sesuatu yang positif buat peminat dan pengikut mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, kehadiran para selebriti di lokasi perdana Malaysia #QuranHour itu cukup membuktikan sokongan mereka kepada program ini.


Menyentuh penglibatan para artis dan selebriti dalam acara kali ini, Mairhaini menyifatkan sokongan berterusan daripada mereka banyak membantu untuk menarik perhatian orang ramai tentang acara ini.

“Selama tiga tahun penganjuran, penglibatan para penggiat seni ini sangat memberangsangkan.

“Saya dimaklumkan ada kalangan penggiat seni yang tak sempat hadir ke lokasi perdana ini, ambil inisiatif mengaji al-Quran di lokasi lain dalam kumpulan masing-masing.

“Alhamdulillah mereka gunakan pengaruh mereka sebagai selebriti ajak masyarakat mendekatkan diri dengan al-Quran menerusi acara ini dan perkara-perkara ke arah kebaikan.

"Semoga usaha ini tidak terhenti setakat ini sahaja, sebaliknya sokongan mereka ini berterusan dengan penglibatan lebih ramai lagi penggiat seni pada masa akan datang,” akuinya.

Media utama yang  terlibat adalah Kumpulan Media Karangkraf (Sinar Harian & Sinar TV), Astro, Bernama New Channel (BNC), Kumpulan Media Prima, RTM, TV Al-Hijrah, Ikim, Kumpulan Utusan, NSTP Group dan The Star.
ot;1" />
Powered by Blogger.