Berita Terkini
recent

Saksi sangka juruterbang sedang jalani sesi latihan

"Seorang daripada juruterbang sempat menunjukkan tanda pangkah dengan tangannya ke arah saya, ingatkan mereka dalam sesi latihan," kata seorang saksi  yang sempat melihat kelibat dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut selepas pesawat pejuang Hawk 108 dipercayai terhempas.

Siti Zamilah Mohd Hussin, 27, berkata, ketika itu beliau sedang menyapu sampah di halaman rumahnya di atas bukit di kampung Pondok Pasir,di sini kira-kira 12.30 tengah hari  sebelum terlihat dua lelaki sedang menggunakan payung terjun.

"Seorang daripada mereka saya tengok menarik-narik tali payung terjun dan memberi isyarat tangan pangkah dekat saya. Saya membalas dengan melambai-lambai tangan ke arah dua lelaki berkenaan kerana menyangka dua lelaki tersebut sedang mengadakan latihan payung terjun," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini lewat petang ini.
Katanya, kedua-dua juruterbang terbabit kemudiannya dilihat jatuh ke arah kawasan belakang rumahnya dan terdengar bunyi dentuman yang kuat.



Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, ditemui pada 2.30 petang tadi setelah dilaporkan hilang daripada radar selepas berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada 11 pagi tadi.

Jasad kedua-dua mangsa  ditemukan di sebuah kawasan hutan paya bakau di Kampung Pondok Pasir, bersebelahan Kampung Yak Yah, Ibok, di sini.

Seorang lagi saksi, Ali Mohamad Mohd Hussin, 37, yang turut berada di kawasan berdekatan berkata beliau terdengar dua bunyi dentuman ekzos pesawat ketika sedang duduk di atas buai di hadapan rumahnya di kampung Pondok Pasir, di sini.

"Dua kali saya dengar bunyi dentuman kuat, lepas tu senyap. Saya intai-intai tapi tak ada apa-apa. Lepas tu beberapa jam kemudian saya lihat helikopter berlegar-legar di ruang udara sekitar rumah saya," katanya.

Hafizuddin Yunus, 32, pula berkata, beliau juga sempat melihat pesawat itu terbang rendah sebelum ia dilihat mengeluarkan asap tebal.

Katanya, ketika itu beliau sedang menunggang motosikal berdekatan Taman Rekreasi dan Mini Zoo di Bukit Takal dan dapat melihat pesawat itu berada dalam ketinggian kira-kira  1,000 kaki serta mendengar deruman enjin yang sangat kuat  sebelum dilihat meluncur ke arah sekitar Hutan Simpan Tasik Buku dan Seri Bandi, di sini.

"Saya lihat pesawat itu makin rendah macam nak jatuh selepas itu kelibat pesawat makin menghilang dan keluar asap yang banyak," katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.