Berita Terkini
recent

Rezeki dua sahabat di YouTube

TIDAK ramai YouTubers melakukan video kreatif mereka bersama rakan. Paling tidak, rakan hanya bertindak sebagai kru belakang tabir.

Namun situasinya nyata berbeza dengan pasangan Ian Hecox dan Anthony Padilla yang bersama menghasilkan video viral mereka di laman YouTube.

Menggunakan akaun Smosh, rakan baik ini sudah pun mengumpul lebih 22 juta pengikut di laman sosial itu.

Seiring dengan puluhan juta pengikut yang diraih, tidak hairanlah jika pasangan sebaya berusia 29 tahun ini turut diletakkan sebagai antara YouTubers terkaya dengan nilai lebih USD 4 Juta setahun.

Pasangan yang memulakan ‘kerja’ memuat naik video sejak 2005 lalu menghasilkan video yang kebanyakannya berkait rapat dengan gaya hidup, komedi spoof, review  dan permainan atas talian.

Sebelum ini, Padilla adalah penggerak kepada legasi Smosh di YouTube apabila dia memuat naik video animasi. Setahun selepas itu, Hecox bersama Padilla berkongsi minat sama sehinggalah sekali gus memberi pendapatan lumayan buat mereka.

Dalam satu temu bual bersama media tempatan, mereka memberitahu setiap idea yang terhasil menerusi kebanyakan video adalah secara spontan dan jika ada perbincangan ia tidak mengambil masa lama.

Tambah mereka, kejayaan yang dilakar adalah sesuatu di luar jangkaan memandangkan keduanya adalah seorang yang pemalu ketika di sekolah.

“Percaya atau tidak, kami ni sebenarnya pemalu. Masa sekolah pun jarang nak bergurau dengan rakan. Masa mula-mula buat video pun, saya pakai video kamera milik bapa dan muat naik di YouTube.

"Tak sangka pula ia mendapat perhatian dan sejak itu, saya fikir ia boleh memberikan sesuatu,” ujar Padilla.

Tidak hanya ‘buat duit’ di YouTube, pasangan ini juga boleh berbangga dengan penerbitan filem komedi, Smosh: The Movie yang ditayangkan dua tahun lalu.

Filem yang mengisahkan dua rakan baik itu menerima respons menggalakkan daripada peminat.

Bercerita mengenai pengalaman terlibat di dalam filem arahan Alex Winter itu, pasangan ini memberitahu bahawa tiada yang berbeza dengan video yang dilakukan mereka di YouTube kerana personaliti mereka sama saja yang dipaparkan di filem.

Cuma, ia memerlukan lebih masa dan komitmen demi menyempurnakan filem tersebut.

Bagaimana pun baru-baru ini, jutawan di YouTube ini membuat pengumuman gempar apabila Padilla memaklumkan tidak lagi punyai kaitan dengan Smosh.

Berita tersebut pastinya memberi impak besar terhadap duo komedi YouTube itu memandangkan Padilla merupakan antara penggerak kepada kejayaan Smosh sejak dulu hingga kini.
Powered by Blogger.