F Rancang filem komedi Islamik | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Rancang filem komedi Islamik

Memulakan langkah sebagai anak seni menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) sehingga menempa gelaran juara, kini Mawi tidak hanya fokus kepada kerjaya nyanyian dan lakonan tetapi turut aktif di belakang tabir.

“Saya jatuh cinta dengan kerja belakang tabir iaitu bergelar penerbit, pengarah dan penulis skrip.

“Sebelum ini, saya pernah mengarahkan lima drama dan menghasilkan beberapa skrip.

“Antara yang ditayangkan adalah Oh My Pondok di saluran Astro Oasis pada setiap Selasa, jam 9.30 malam,” katanya.

Mula mengarah pada 2009, Mawi memaklumkan ada insiden pahit yang kekal terpahat di ingatannya sehingga hari ini.

“Karya pertama saya adalah telefilem Pak Nil, Mak Kirim Salam. Semuanya berjalan lancar sehinggalah berlaku insiden hilang 15 babak daripada simpanan.

“Itu adalah karya pertama dan apabila ia berlaku, rasa trauma untuk terus berkarya. Namun, saya tak patah semangat sebaliknya membetulkan keadaan dan masih berkarya sehingga sekarang,” katanya.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani juga kini dalam perancangan menerbitkan filem pertamanya.

“Filem yang bakal saya hasilkan nanti bergenre komedi Islamik. Saya serius untuk merealisasikan filem ini dan kini rancak melakukan penyelidikan.

“Berbanding drama, pembikinan filem lebih berisiko tinggi. Daripada apa yang saya lihat dan semak, kutipan terendah filem tahun lalu adalah RM19,000,” katanya.

Mengulas lanjut genre pilihannya itu, Mawi yakin ia dapat diterima ramai.

“Banyak filem yang dihasilkan tidak kena dengan kehendak penonton walaupun ia berkualiti.

“Saya berasakan genre komedi Islamik mampu menarik perhatian orang ramai memandangkan ia sentiasa diterima baik,” katanya.

Perkembangan lain, Mawi baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Munafik 2.

Menerusi filem garapan Syamsul Yusof itu, Mawi memegang peranan sebagai Azhar, rakan kepada Ustaz Adam.

“Penggambaran berlangsung selama 64 hari di sekitar Pahang, Perak dan Selangor,” katanya yang berduet dengan Oja & Tunable Band menerusi dua lagu raya berjudul Marhaban Ya Ramadan dan Calit.

Powered by Blogger.