Berita Terkini
recent

Rahmad dapat kepuasan

Ada kepuasan apabila dapat memperdengarkan lagu yang baik dan mempunyai mesej kepada peminat.

Itulah pengakuan Rahmad Mega yang kini tampil dengan single berjudul Sajadah Ka’bah berduet dengan penyanyi terkenal Indonesia, Allahyarham Deddy Dores.

Lagu ciptaan Cahaya Bunga Saragih yang dihasilkan menerusi pengalamannya sendiri ketika mengerjakan umrah ini dimuatkan dalam album Cahaya Dari Ka’bah (CDK) yang turut mengandungi lagu Amanah Allah, Illahi Lastu, Sholawat Al-Badawi, Tujuh Putaran Bertawaf, Sucikan Hati, Kesempatan Kedua, Robbal Baroya, Sholawat Penyejuk Hati dan Sholawat Qurania.

Pelancaran album ini serta konsert tribute sempena setahun kematian Deddy Dores sudah diadakan di Jakarta, Indonesia pada 17 Mei lalu.

Manakala pelancaran dan sesi memperkenalkan lagu ini kepada peminat Malaysia diadakan serentak dengan program majlis berbuka puasa anjuran Eagle Founder Group Sdn Bhd di Shah Alam pada 3 Jun lalu.

Ia turut dihadiri Cahaya dan suaminya Maman Piul serta barisan pendakwah yang terbabit dengan album CDK iaitu Ustaz AA Muri, Ustaz Ali Pancasona dan Ustaz Zulfa.

Rahmad mengakui gembira kerana pelancaran di Malaysia berlangsung pada Ramadan yang mempunyai pelbagai keistimewaan buat umat Islam di seluruh dunia.

“Album dakwah ini sesuai dilancarkan pada Ramadan. Alhamdulillah, setiap perkataan dan bait lagu akan dikira satu kebaikan kita,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan komentar di laman sosial, peminat di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei amat menggemari lagu Sajadah Ka’bah yang pernah dinyanyikan Deddy Dores dua tahun lalu.

“Saya meletakkan harapan tinggi agar lagu ini diminati semua peminat di negara kita kerana mesejnya amat mendalam.

“Pun begitu, saya faham di sini kebanyakan radio memainkan lagu ketuhanan sebelum dan selepas azan,” katanya.

Rahmad menganggap itu bukan satu masalah besar kerana baginya untuk menyebarkan sesuatu kebaikan, tidak memerlukan paksaan.

“Apa yang penting kita sudah buat yang terbaik. Segala kebaikan jangan diharapkan balasan agar lebih mendapat keberkatan,” katanya.

Sambung Rahmad, dia masih berminat menghasilkan album biasa tetapi tetap akan menyelitkan lagu berunsur nasihat.

“Dalam album baru nanti, saya akan memuatkan lagu Renungan Malam. Ia menceritakan betapa perlukan kita yakin sepenuhnya pada ketentuan Allah SWT.

“Bagaimanapun penyampaiannya tidaklah secara langsung seperti Sajadah Ka’bah yang terarah kepada lagu berbentuk dakwah,” katanya.

Mengulas pembabitannya dengan Eagle Founder, Rahmad berkata, ia sebuah komuniti yang berkembang melalui cabang perniagaan yang salah satunya berkaitan dengan dirinya.

“Kini Eagle Founder meneroka cabang bisnes baru iaitu pengurusan artis.

“Saya artis pertama yang bernaung di bawah syarikat ini. Mereka akan menguruskan persembahan dan mempromosikan album saya,” katanya.
Powered by Blogger.