Berita Terkini
recent

‘Pupuk minat sedari kecil’ - Mohd Ali Salim

GENERASI muda seharusnya diberi pendedahan dalam bidang kesusasteraan sejak kecil lagi.

Secara tidak langsung keadaan itu akan membantu menyemaikan rasa cinta terhadap bidang sastera.

Penulis dari Sarawak, Mohd Ali Salim berkata, kata peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya yang bermaksud melatih anak biar daripada kecil.

"Sewajarnya, bidang sastera itu didedahkan kepada anak-anak sedari kecil lagi.

"Sejak ibu mengandung dengan puisi yang mendidik hinggalah buaian anak dengan syair dan gurindam yang penuh pengajaran.

"Bahkan, sastera juga harus diajar di sekolah rendah hingga pendidikan tinggi untuk semua," katanya pada Media Hiburan.

Bukan itu sahaja, katanya, sastera juga seharusnya dijadikan sebahagian daripada pengisian majlis rasmi.

Pada masa sama, katanya, industri sastera tetap berkembang bahkan penerbit buku masih lagi berminat dengan karya sastera.

"Ini bermakna sastera telah memberi untung kepada industri buku dalam negara.

"Cuma, kita sebagai pemain industri tetap menunggu sokongan lebih kuat kerajaan sebagai suntikan utama untuk melonjakkan lagi industri ini," katanya.

Oleh itu, katanya, pihak berwajib sewajarnya meletakkan sastera di tempat yang tinggi dengan kepelbagaian pengiktirafan.

Bahkan, katanya, nilai pengiktirafan itu perlu lebih tinggi daripada industri hiburan kerana ia penting dalam pembangunan minda dan modal insan.

"Tanpa sedar, sastera berfungsi memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Ia membawa rakyat berfikir dan membuat refleksi mengenai kehidupan masa lalu, kini dan jangkaan akan datang.

"Pendek kata, industri ini membawa ke arah kemajuan dan kesejahteraan masyarakat yang beradab," katanya.

Tambahan pula, katanya, sastera berperanan merakam pergerakan dan perubahan masyarakat terutama dari segi pembangunan mental, fizikal dan peradaban.

Katanya, semua itu dijadikan panduan untuk pembentukan masyarakat yang berkualiti dan bertamadun tinggi.

"Kerana itu, perhatian lebih perlu diberikan kepada pembangunan kesusasteraan melebihi industri hiburan," katanya

Belum puas menulis

Bergelar guru bahasa, Mohd Ali juga mencabar diri untuk berjinak-jinak dalam bidang penulisan.

"Sebagai guru bahasa, timbul refleksi tentang diri sendiri.

"Saya tertanya-tanya kenapa tidak saya mengarang secara serius sedangkan saya mampu mengajar orang lain," katanya yang kini bertugas di pejabat pendidikan daerah.

Rentetan itu, Mohd Ali berguru dengan Zaharah Nawawi dalam bidang ilmu penulisan dan kesusasteraan.

"Saya rasa sebati dengan caranya yang mengajar dengan bersungguh-sungguh dan bermotivasi tinggi.

"Saya juga mahu berjaya dalam penulisan sepertinya walaupun dia garang ketika mengajar," katanya yang juga meminati sasterawan negara, Dr Anwar Ridwan.

Bahkan, pelbagai pengalaman menarik turut dirasai menerusi pembabitannya dalam bidang ini.

"Alhamdulillah, saya dijemput untuk menyertai pelbagai aktiviti penulisan dan sastera.

"Sungguh manis kenangan di Jakarta apabila saya terpilih mewakili negara bersama 10 cerpenis Indonesia membaca cerpen sendiri di Stadium Bong Karno, Jakarta, Indonesia.

"Kemudian cerpen yang sama dibaca di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),” katanya.

Biarpun cemerlang dengan setiap hasil karyanya, Timbalan Presiden Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) ini mengakui masih belum puas dalam industri ini.
Powered by Blogger.