F Program iftar@KL datang lagi | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Program iftar@KL datang lagi

Acara tahunan terbesar anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), iaitu program iftar@KL datang lagi menyemarakkan Ramadan yang mulia ini.

Padat dengan pelbagai aktiviti keagamaan, persembahan artis dan tazkirah daripada penceramah terkenal, program itu sudah pun bermula minggu lalu dan berakhir 18 Jun ini.

Antara artis yang membuat persembahan, kumpulan nasyid Hijjaz, UNIC dan Raihan. Penceramah pula, Datuk Ustazah Norbayah, Ustaz Wan Akasha, Ustaz Haslin Baharim , Che Mat Raja Lawak, PU Mizi, PU Rahmat, Ustaz Kazim Elias dan Datuk Dr Fadzilah Kamsah.

Program itu diadakan di Jalan Raja, Kuala Lumpur (berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad), setiap Sabtu dan Ahad.

Menurut Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli, sejak program itu diperkenalkan tiga tahun lalu, berbuka puasa sambil menikmati keindahan ibu kota dalam remang senja berjaya menarik kehadiran pengujung tempatan dan antarabangsa.

“Jumlah khalayak tempatan dan antarabangsa yang datang pada Festival Ramadan sejak 2012 sehingga 2014 berjumlah 65,380 orang.

“Tahun lalu jumlah khalayak meningkat kepada 82,000 dengan kedatangan pelancong dari Timur Tengah, negara ASEAN, Korea Selatan, China, Jepun, Sepanyol, Itali, Jerman, Belanda, Amerika Syarikat dan Perancis,” katanya.

Kata Norliza, Ramadan adalah bulan kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya generasi muda serta memupuk nilai murni melalui aktiviti yang diadakan.

“Iftar@KL 2017 sebagai satu program pelancongan secara Islamik dan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Seni dan Budaya pada peringkat Antarabangsa.

“Selain itu, ia bertujuan mengimarahkan dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui amalan kebajikan di samping mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum.

“Dengan adanya program seumpama ini, umat Islam akan berebut-rebut untuk mengejar ganjaran dan kenikmatan bulan yang penuh berkat,” katanya.

Antara aktiviti, Penyediaan dan Pengagihan Bubur Lambuk, Pameran Pelancongan Islam, Tadarus Al-Quran, Tazkirah Ramadan, Kapsul Ramadan, Sukarelawan, Klinik Tahsin Al-Quran, Jualan Food Truck, Kaunter Zakat, Majlis Berbuka Puasa (Iftar), Solat Berjemaah (Maghrib, Isyak dan Tarawih), Bicara Ramadan (Ramadan Talk), Konsert Ramadan dan Moreh.

Iftar@KL 2017 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Sri Rosmah Mansor.

Powered by Blogger.