Berita Terkini
recent

Pernah nak bunuh diri

Penyanyi Katy Perry mendedahkan dia pernah terfikir mengenai bunuh diri ketika mengadakan sesi terapi bersama pakar psikologi terkenal Dr Siri Sat Nam Singh, baru-baru ini.

Perbualan mereka disaksikan secara langsung menerusi YouTube dan Katy, 32, kelihatan beremosi sehingga menangis sepanjang berkongsi kisah peribadinya dengan pakar itu.

Penyanyi Bon Apetit ini turut menceritakan masalah hubungan dengan ibu bapanya dan cabaran berhenti minum alkohol.

“Pernah terlintas dalam fikiran untuk bunuh diri suatu ketika dulu. Saya turut menulis lagu mengenainya.

“Saya berasa malu kerana pernah mempunyai fikiran seperti itu. Ia membuatkan saya kurang keyakinan diri dan tertekan,” katanya.

Sesi terapi itu berakhir dengan Katy memilih sekeping kad yang memaparkan perkataan ‘bebas’ dari sebuah mangkuk.

Sebaik membaca perkataan itu, Katy sekali lagi menangis dan mengucapkan terima kasih kepada pakar terbabit.

Siaran langsung berkenaan sebahagian daripada usaha Katy mempromosi album barunya berjudul Witness dan program berkenaan bersiaran 24 jam di YouTube selama empat hari sejak Khamis lalu.

Rakaman itu berlangsung dari ibu pejabat Witness Worldwide dan peminat boleh menyaksikan aktiviti seharian Katy seperti melakukan yoga termasuk waktu tidur.

Turut menemani Katy di kediaman itu adalah pembantu peribadinya, jurusolek serta haiwan peliharaannya. Beberapa selebriti turut muncul dalam siaran langsung berkenaan antaranya Cef Gordon Ramsey dalam sesi memasak.

Selesai rakaman itu, Katy akan mengadakan persembahan percuma untuk 1,000 peminat bertuah.
Powered by Blogger.