F Peniaga martabak mohon maaf | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Peniaga martabak mohon maaf

Seorang peniaga martabak di Pasar Ramadan Pekan Chengkau, di sini, membuat permohonan maaf secara terbuka menerusia laman Facebook Rembau Macam-macam Ado kepada seorang pembeli juadahnya.

Muhammad Al-Firdaus Ismail, 29, berkata, dia terkejut sebaik terbaca status yang dimuat naik di laman itu oleh seorang lelaki yang meluahkan rasa tidak puas hati, kerana inti martabak yang dibeli dari gerainya, sudah basi.

Muhammad Al-Firdaus yang merupakan bekas tukang masak hotel berkata, dia mula berniaga di pasar Ramadan berkenaan sejak lima tahun lalu dan tidak pernah menerima sebarang aduan berkaitan juadah disediakan.



“Di pasar Ramadan ini hanya ada tiga peniaga martabak. Hanya saya yang tawarkan harga martabak paling tinggi, RM4 sekeping. Status itu turut menyatakan harga martabak dan tentulah saya terkesan dengan perkara ini.

“Saya tak senang duduk bila fikirkan hal ini kerana bimbang sekiranya pembeli itu tak halalkan duitnya pada saya. Bimbang ia menyebabkan sumber rezeki bagi menanggung mak saya yang sakit buah pinggang tercemar,” katanya.

Atas dasar itu, katanya, dia memberi maklum balas pada status berkenaan dan memohon maaf sekiranya perkara itu adalah benar.

Menurutnya, dia juga mahu pembeli berkenaan datang ke gerainya supaya dia boleh menggantikan kembali martabak yang baharu, malah mahu memberikan satu lagi martabak secara percuma.

“Saya juga menampal pengumuman di gerai martabak saya kelmarin. Saya beranggapan sekiranya martabak saya basi pada Isnin lalu, pasti ada lagi mangsa lain kerana setiap hari saya jual lebih 120 keping martabak.

“Bagaimanapun, sehingga ke waktu berbuka, tiada yang datang untuk buat tuntutan berkenaan dan saya berniaga seperti biasa,” katanya ketika ditemui di gerainya yang dinamakan Martabak Combi di sini, semalam.

Muhammad Al-Firdaus berkata, walaupun berasa terkesan dengan status berkenaan, lebih-lebih lagi ada pengunjung yang memandang serong kepadanya, dia cuba berlapang hati apabila masih terdapat ramai pelanggan setia yang membeli martabaknya.

“Semalam (kelmarin) pun ada pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) datang memeriksa juadah dan harga jualan.

“Ada mereka bertanyakan mengapa saya meletakkan harga RM4 lebih tinggi dari peniaga lain di lokasi ini.

"Tapi setelah terangkan bahan-bahan yang saya gunakan iaitu lima jenis sayur, telur serta lebih daging atau ayam, mereka terima harga berkenaan," katanya.

Menurutnya, tahun lalu dia menjual martabak dengan harga RM3. Namun pada tahun ini harga jualan dinaikkan sebanyak RM1 kerana dia masih mahu mengekalkan 'kemewahan' inti martabaknya.

“Kalau pembeli martabak ayam, daging atau kambing mahu menambah keju, tambahan sebanyak RM1 dikenakan.

“Kalau saya jual juga dengan harga lama, saya pula terpaksa tanggung kosnya. Sedangkan ini merupakan periuk nasi buat saya sekeluarga lebih-lebih lagi mak saya kini perlu jalani rawatan dialisis,” katanya.

Menurutnya, dia sangat berharap agar insiden berkenaan dapat dijadikan pengajaran kepada pembeli mahupun peniaga.

“Bagi peniaga, mungkin kita ada khilaf dan ALLAH mahu uji kita. Sekiranya betul juadah yang kita jual rosak, kita perlu akuinya. Mungkin kita tak sedar sepanjang menyediakan juadah berkenaan," katanya.

Powered by Blogger.