F ‘Nasi Bungkus Sebagai Bayaran’- Shaharudin Thamby | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

‘Nasi Bungkus Sebagai Bayaran’- Shaharudin Thamby

Lebih 30 tahun menghambakan diri dalam dunia seni, nama Shaharudin Thamby, 60, sememangnya tidak asing lagi dalam industri seni tanah air.

Hasil pelakon veteren ini bukan sahaja di pentas mahu pun tetapi turut memeriahkan filem Malaysia.
Shaharudin memulakan langkah dalam bidang lakonan sekitar 1983 dengan melalui pendedahan dalam teater di Markas Drama di Kompleks Budaya Negara yang ketika itu menjadi tumpuan anak-anak muda untuk mencari ilmu.

“Saya berguru dengan Allahyarham Mustafa Noor yang banyak berkongsi ilmu selain memberi pendedahan tentang yang mematangkan saya dari segala segi termasuk kehidupan.

“Antara rakan-rakan yang bersama saya ketika itu ialah Nasir Bilal Khan dan Ismail Yaacob. Kami berkongsi minat yang sama tanpa fikir pendapatan, populariti dan sebagainya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pada era 1980-an, seni persembahan pentas mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada masyarakat, apatah lagi ia menjadi medium pementasan karya hebat baik dari dalam mahu pun luar negara.

Kata Shahrudin, mungkin ramai yang sukar percaya jika pada era itu mereka hanya berlakon secara percuma, tiada gaji tetapi hanya diberi makan nasi bungkus sebelum dan selepas pementasan berlangsung.

“Tapi ketika itu tiada siapa yang mempersoalkan tentang itu kerana kebanyakan pelakon berlakon kerana minat dan nak cari ilmu yang disifatkan lebih berharga daripada wang ringgit,” katanya yang terlibat dalam lebih 50 pementasan teater.

Shaharudin juga melebarkan bakatnya dalam lakonan drama TV selepas yakin dengan ilmu dan pengalaman lakonannya di pentas.

Walaupun begitu, dia tidak menggunakan jalan pintas, sebaliknya turut menghadiri pelbagai sesi uji bakat di RTM.

Dalam usahanya mencari peluang, Shaharudin mengakui banyak kali gagal dan belum menepati kehendak pihak terbabit selain perlu bersaing dengan beberapa pelakon lain
termasuk Khalid Salleh, Ahmad Yatim dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

Penghargaan peminat

Biarpun penampilan pertama Shaharudin di kaca TV hanyalah menerusi watak kecil yang tidak begitu disedari penonton sebagai penjaga parkir dalam sebuah drama terbitan RTM, dia tidak menjadikannya sebagai halangan untuk mencari peluang baru.

Pada tahun 1985, Shaharudin ditawarkan watak utama dalam drama pertama terbitan TV3 iaitu Sahabat Satria sekali gus mencipta sejarah hidupnya kerana menjadi antara pelakon terawal muncul dalam drama itu.

“Walaupun bayaran taklah sebesar sekarang, tapi saya sangat komited dan aktif sekitar tahun 1990-an,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik TV di Anugerah Sri Angkasa.
Tidak sekadar pentas dan kaca TV, Shaharudin juga seorang pelakon filem yang cukup disegani kerana lakonan hebatnya malah pernah bergelar Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Bintang Malam (1991).

Antara filem lakonan Shaharudin ialah Riang Tirana (1990), XX-Ray (1992), Pemburu Bayang (1993), Leftenan Adnan (2000), Kapsul (2015), termasuk sebuah filem Hindi lakonan Shah Rukh Khan, Don (2006).

Lakonannya tidak terhenti di situ kerana Shaharudin bakal tampil dalam dua buah filem terbaru lakonannya, Kerja Kahwin dan KL Special Force tahun ini.

Berkongsi kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar anak seni, kata Shaharudin, kejayaan yang dilaluinya bersama produksi teater Tun Perak (2000) arahan Dr Hatta Khan masih kekal dalam ingatannya sehingga ke hari ini.


Ceritanya lagi, mereka membuat persembahan selama 14 hari di pentas Panggung Sari, Istana Budaya dan pada lima malam terakhir pementasan mendapat standing ovation daripada seluruh penonton yang menyaksikan pementasan itu pada setiap malam.

Menyentuh kehidupan peribadinya, bapa kepada penyanyi Chap A to Z ini bahagia bersama keluarga yang sentiasa menyokong kerjaya seninya.

“Alhamdulillah saya melalui kehidupan sama sebagaimana orang di luar sana, bahagia bersama keluarga dan lima orang cucu.

“Insya-ALLAH, jika semuanya berjalan lancar saya akan berangkat ke Tanah Suci pada 21 Jun ini untuk mengerjakan ibadah umrah dan menyambut Aidilfitri di sana,” katanya yang bakal tampil dengan telefilem Petunjuk sempena hari raya ini.

Powered by Blogger.