Berita Terkini
recent

Menangis naik kereta JKM

Hanya dalam tempoh beberapa jam, seorang wanita bermasalah penglihatan dari Pendang berjaya memperoleh RM235 dengan hanya menunggu di bazar Ramadan Taman Ria, di sini.

Wanita itu yang sanggup melalui hampir 100 kilometer perjalanan ulang alik rupa-rupanya ditemani sepasang suami isteri dipercayai membawanya ke destinasi terbabit untuk menjalankan kegiatan mengutip derma.

Dia yang berusia 74 tahun bagaimanapun diselamatkan sepasukan anggota penguatkuasa dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dalam operasi yang dilakukan bermula jam 5.30 petang.


Wanita berkenaan yang berbaju kurung hijau itu kemudian dilihat mengalirkan air mata ketika dibawa menaiki kenderaan jabatan untuk proses dokumentasi.
Dalam operasi sama, seorang pemuda yang mengakui menjalankan kutipan untuk sebuah pusat anak yatim dan miskin turut ditahan untuk siasatan.

Dia yang tidak serik-serik juga dikenal pasti sudah beberapa kali ditahan dalam operasi serupa sebelum ini di lokasi sekitar daerah.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Nor Harina Ayob berkata, seramai lima orang diselamatkan dalam operasi dijalankan di bazar Ramadan yang berakhir jam 7.30 petang kelmarin.

Menurutnya, dua daripadanya sudah pun diserahkan kepada keluarga dengan nasihat dan pemantauan.

"Manakala, dua lagi diberi amaran agar tidak mengulangi aktiviti mengemis, manakala seorang pengutip derma diserahkan kepada Pejabat Agama untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti salah seorang daripada pemungut derma berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal sudah pun diluluskan bantuan bulanan bermula Julai 2017.

“Bagaimanapun, berdasarkan hasil siasatan, kita telah menyerahkan wang Bantuan Segera berjumlah RM300 kepada lelaki berusia 35 tahun itu yang tinggal di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang selepas melihat keperluan yang diperlukan,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.