F Mawi bakal arah filem pertama | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Mawi bakal arah filem pertama

NAMA Mawi kini kembali di persada hiburan tanahair selepas muncul menerusi duet bersama beberapa penyanyi terkenal lain.

Jika sebelum ini pemilik nama sebenar Asmawi Ani menonjol sebagai penyanyi solo, kini menjadi sebutan kerana kejayaan lagu-lagu duet yang dirakam bersama penyanyi seperti Jeff A-Z, Dali Fisuf, Datuk AC Mizal, Syamsul Yusof dan terbaru bersama Oja  & Turnable Band.

Kekerapannya muncul dengan lagu duet membuatkan ada peminatnya tertanya-tanya apakah dia kini mahu dikenali sebagai penyanyi duet berbanding tampil solo.

“Sebenarnya semua ini berlaku tanpa dirancang. Pada mulanya saya hanya terima pelawaan kawan-kawan untuk berkolaborasi dan hanya suka-suka.

“Mungkin dah rezeki lagu itu dapat perhatian, ada lagi penyanyi lain yang nak bekerjasama,” ujarnya jujur.

Mawi yang ditemui pada Majlis Pelancaran Album Mesra Raya turut berkongsi gandingan terbarunya bersama Oja & Turnable Band menerusi lagu Marhaban Ya Ramadan dan Calit.

Mawi memberitahu. dia tidak mempunyai masalah untuk berkolaborasi dengan sesiapa kerana karya berkualiti itu lebih penting.

Penyanyi ini juga cukup teruja dengan kerjasama terbarunya iaitu lagu khas sempena Ramadan selain sebuah lagi lagu yang berkaitan produk minyak wangi jenamanya sendiri iaitu Calit.

Meskipun begitu, menurut Mawi dia sebenarnya sedang dalam proses menyiapkan album studio terbarunya yang sudah lama dirancang untuk peminat.

“Proses pembikinan album ini sudah lama bermula, tapi sebab saya banyak terlibat dengan projek lagu duet, jadi tertangguh sekejap," katanya yang sudah menyiapkan lima lagu ciptaan sendiri sepenuhnya.

Kata Mawi, dia tidak kisah mengambil sedikit masa untuk menyiapkan album kerana paling penting adalah kepuasan untuk sebuah album berkualiti bukan saja buat dirinya tapi untuk peminat.

Pilih tema komedi Islamik

Selain aktif menyanyi, Mawi juga serius dengan kerja belakang tabir menerusi syarikat produksi miliknya, Mawi World Sdn Bhd.

Meski pada mulanya hanya bertindak sebagai penerbit, Mawi kemudian cuba mengarah menerusi drama Pak Nil, Ibu Kirim Salam yang pernah disiarkan di saluran Astro sempena sambutan Aidilfitri 2009.

“Sebenarnya tak mudah mengarah tapi sebab saya nak belajar sesuatu yang baru, kesungguhan tu mengatasi segala-galanya," katanya yang mendalami ilmu pengarahan bersama beberapa kru yang terlibat dan rakan-rakan pelakon berpengalaman.

Sehingga kini, Mawi berjaya mengarahkan beberapa drama dalam pelbagai genre termasuklah sitcom Oh My Pondok yang kini sedang disiarkan di Astro Oasis.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, Mawi juga juga merancang menerbit dan mengarahkan filem.

Memilih tema komedi Islamik yang juga dirasakan cukup dekat dengan dirinya, Mawi mengakui sedang sibuk dengan proses preproduksi filem tersebut.

“Sepanjang terlibat dalam kerja-kerja belakang tabir ini, terlalu banyak benda baru yang saya belajar. Kebetulan saya berkawan baik dengan Syamsul yang tidak lokek ilmu," katanya.

Sibuk urus butik

Bercerita mengenai Ramadan, kata Mawi, lazimnya bulan ini dia lebih banyak meluangkan masa memberi tumpuan kepada perniagaan butik bersama isterinya di Bangi dan Johor Bahru.

“Setiap kali Ramadan memang saya fokus kepada perniagaan butik kerana sepanjang bulan ini jualannya sangat mendapat sambutan.

“Cuma pada dua minggu pertama Ramadan tahun ini, saya terikat dengan penggambaran filem Munafik 2,” ujarnya.

Sempena acara Malaysia #Quran Hour yang bakal berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 19 Jun ini, Mawi tidak ketinggalan memberikan sepenuh sokongannya kepada program yang disifatkannya sebagai satu acara yang tidak harus dilepaskan.

“Tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana berjaya mengadakan majlis ilmu seperti ini selama dua tahun berturut-turut.

“Saya nak ajak rakan-rakan di luar sana untuk turut sama menyokong program ini dan menjadikan nya sebagai satu acara yang dapat dimanfaatkan bersama,” akhirinya.
ot;1" />
Powered by Blogger.