Berita Terkini
recent

Masih Ingat Dengan Program Sinaran Pasport Kegemilangan?

Masihkah anda ingat lagi dengan Miera Yusof, penyanyi yang suatu ketika dahulu pernah popular selepas menyertai program Sinaran Pasport Kegemilangan?

Dia popular dengan lagu Tanda Harga Cinta dari album kompilasi bersama Puteri Sinaran.
Kini selepas 18 tahun menyepikan diri, Miera atau nama sebenarnya Harmira Yusof, 35, muncul kembali khas buat peminat yang merindui suaranya.

Berbekalkan lagu Ku Idam Cinta, Miera berharap kehadirannya dalam industri dapat diterima.
“Selepas 18 tahun, saya telah pun lancarkan single terbaru berjudul Ku Idam Cinta. Alhamdulillah, prosesnya cukup mudah. Tak sampai sebulan dah siap. Jadi saya rasa ini petanda peluang terbaik untuk saya kembali lebih aktif dalam seni hiburan.

“Sebenarnya saya bukan tak aktif, saya masih menyanyi cuma dalam majlis dinner show dan private function. Jadi saya tak begitu dikenali oleh peminat hiburan generasi baru. Dah lama tak muncul di media.
“Jadi, dengan single terbaru ini saya harap, peminat dapat terima kehadiran saya semula. Walaupun saya tak berapa terkenal tapi tetap berbangga dengan pencapaian saya setakat ini. Saya suka nak kongsi pengalaman selama ini dengan generasi baru,” ujarnya.

Disebabkan ingin berkongsi pengalaman tersebut maka Miera membuka sebuah sekolah muzik yang dikenali dengan nama Maya Abaya Miera School di Kemaman.

Sekolah muzik yang dibuka Februari lalu untuk kanak-kanak berumur 5 hingga sekolah menengah.
“Saya buat di Kemaman sebab di Terengganu penduduknya ramai, yang berbakat pun ramai, tinggal lagi perlukan pendedahan yang lebih terhadap bidang muzik. Jadi biarlah saya naikkan bakat-bakat baru di tempat saya dulu,” ujarnya lagi.

Saingan orang muda

Sebagai senior yang agak lama menyepikan diri dan ingin kembali bersaing, sudah pasti agak sukar buat Miera.

Bagaimanapun bagi Miera, dia menganggap perkara ini bukanlah persaingan tetapi kehadirannya kembali adalah untuk memeriahkan dan berkongsi pengalaman.

“Saya perlukan sokongan daripada pelbagai pihak seperti media, radio dan sebagainya. Orang akan nampak bila mereka lihat persembahan yang berkualiti. Saya yakin dengan pengalaman saya dan bakat kerana dari dulu pun saya mencari rezeki dengan menyanyi.

“Alhamdulilah job tak pernah putus,” ujarnya yang turut mendapat sokongan daripada keluarga.
Powered by Blogger.