Berita Terkini
recent

Mangsa pernah mengadu dipukul: Datuk

Kanak-kanak lima tahun yang meninggal dunia disyaki akibat didera pernah mengadu dipukul bapa tirinya.

Datuknya, Abd Kadir Md Salleh, 59, berkata, mangsa, Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman ada memberitahunya selepas terdapat kecederaan pada dahinya.

“Memang ada nampak kesan cedera pada cucu saya. Bila kita tanya dia kata ayah (tiri) buat.



“Saya juga perasan cucu saya sering dalam ketakutan, lebih-lebih lagi dengan ayah (tiri) nya. Pernah saya minta dia ambil bantal dalam bilik ketika itu bapa tirinya sedang tidur. Dia enggan dan lebih rela ambil bantal dari bilik bapa saudaranya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Menurut Abd Kadir, mangsa dan kedua ibu bapanya pernah menetap di Pasir Putih, Kelantan sebelum tinggal bersama-sama selama tiga bulan di Felda Tenang, Hulu Besut.

“Sepanjang tiga bulan tinggal bersama, saya tak pernah nampak Hairil dipukul bapa tirinya, tetapi saya perasan menantu saya sering bawa dia keluar menaiki motosikal. Hampir setiap hari.

“Pada hari cucu saya meninggal dunia pun, dalam jam 10 pagi hingga 2 petang, menantu saya bawa cucu menaiki motosikal dengan alasan keluar berjalan-jalan,” katanya.

Abd Kadir menambah, setibanya ke rumah selepas keluar berjalan-jalan sebelah petang, cucunya kelihatan lemah dan muntah-muntah.

“Mulanya, saya sangka dia tidak sedap perut sebab makan pelbagai jenis makanan pada musim perayaan, tetapi agak hairan bila dapati dia tidur sehingga ke malam dan saya diberitahu dia bangun sekitar jam 11 malam untuk membuang air kecil dan sempat bergurau dengan bapa saudaranya.

“Ketika itu saya telah tertidur sekitar jam 9 hingga 12 malam. Bila terjaga jam 2 pagi, saya terdengar anak saya (Nor Syafiqah) dan suaminya menjerit mengatakan anak mereka sudah tiada,” katanya.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.