Berita Terkini
recent

Mangsa buli meninggal dunia

Mangsa kes buli yang dilaporkan dalam keadaan kritikal meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) petang tadi.

T Nhaveen dipercayai menghembuskan nafasnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP kira-kira jam 6 petang selepas enam hari bertarung nyawa akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar ketika dihubungi media semalam.

Menurutnya, proses bedah siasat dijalankan malam semalam dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mangsa sebelum ini dilaporkan mengalami mati otak akibat dihentak dengan objek tumpul dipercayai bermula dengan ejekan berhubung isu misai mangsa.

Mangsa dipercayai dipukul di bahagian kepala dan badan menggunakan objek tumpul dipercayai topi keledar menyebabkan dia tidak sedarkan diri.

Pemeriksaan doktor juga mengesahkan terdapat kesan luka dan pendarahan kecil pada dubur mangsa namun doktor belum dapat memastikan jenis objek yang digunakan.
Mangsa sebelum ini mempunyai rekod rawatan kerana mengalami ketumbuhan di bahagian otaknya.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu, mangsa bersama rakannya, T Previin, 19 sedang membeli burger di sebuah gerai di Taman Tun Sardon di sini.

Mereka kemudiannya terserempak dengan dua daripada suspek yang kemudiannya mengejek saiz misai mangsa dengan panggilan yang tidak menyenangkan.

Kejadian itu berlarutan dengan pertengkaran mulut dan Nhaveen dibawa menaiki motosikal suspek ke kawasan padang berdekatan namun Previin berjaya melarikan diri.

Difahamkan, dua suspek kemudiannya menghubungi beberapa rakan mereka yang lain untuk memukul mangsa menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.

Polis turut mengesahkan terdapat kesan cucuhan pada badan mangsa.

Polis kemudiannya berjaya menahan lima lelaki berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun berdasarkan pengecaman yang dibuat oleh Previin.

Mereka kini direman sehingga 16 Jun untuk disoal siasat.
Powered by Blogger.