F Lunas dendam lampau | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Berita Terkini
recent

Lunas dendam lampau

Menjadi antara filem paling dinantikan tahun ini, The Mummy mencetuskan perspektif berbeza. Baik pemilihan Tom Cruise sebagai teraju utama, keberkesanan konsep, naratif mahupun produksinya.

Percubaan sutradara Alex Kurtzman menyelitkan elemen cita rasa peribadinya dalam karya itu, ia kurang menjadi pada beberapa bahagian.

Filem arahan Kurtzman itu menarik kerana bukan saja sarat aksi malah turut diselitkan elemen komedi.

Menampilkan Cruise sebagai Nick Morton, Sofia Boutella (Puteri Ahmanet), Annabelle Wallis (Jenny Halsey), Jake Johnson (Sarjan Chris Vail) dan Russell Crowe (Dr Henry Jekyll), The Mummy mampu menarik perhatian penonton ke panggung.

Paling menarik semestinya naratifnya yang berlatarbelakangkan zaman moden. Menjalani penggambaran di beberapa negara termasuk Mesir dan London, imej yang dipaparkan cukup mengagumkan.

Permulaan cerita cukup meyakinkan apabila sejarah Puteri Ahmanet yang dikhianati digambarkan dengan terperinci. Sekali gus, penonton boleh mengagak apa yang bakal berlaku jika Puteri Ahmanet ‘bebas’ dari tempat dia ditanam hidup-hidup.

Transisi cerita beralih pula kepada era baru apabila Nick, Jenny serta Chris secara tidak sengaja menemui kawasan Puteri Ahmanet ditanam. Mereka tidak sedar berdepan dengan kuasa kejahatan paling menakutkan.

Bermula daripada plot ini, watak Nick seakan-akan tidak mencapai kemampuan sebenar Cruise yang sebelum ini sering menampilkan lakonan mengagumkan.

Paling ketara babak pertengkaran Nick dan Chris yang diselitkan unsur humor. Pada saat itu, Nick tenggelam dengan aksi selamba Cris yang jauh lebih meyakinkan dan bersahaja.

Walaupun Nick digambarkan sebagai lelaki yang naif, watak itu perlu lebih menyerlah. Namun, pelaksanaannya seakan-akan tidak sempurna.

Bagaimanapun, pujian wajar diberikan kepada watak Puteri Ahmanet apabila segala terjemahan rasa dendam, kejahatan dan kesedihan berjaya direalisasikan Sofia dengan berkesan.

Bermula dengan ketakutan, perlahan-lahan penonton akan mula jatuh cinta dan besimpati dengan karakter itu. Kuasa gelap yang ada dalam dirinya tercetus berikutan dendam lampau. Apabila sudah ‘bebas’ dan mendapat semula kuasanya, Puteri Ahmanet mahu melunaskan hajat lamanya.

Selain menonjolkan lakonan hebat, Sofia adalah mumia wanita pertama yang jelita.

Kurtzman terasa kerdil

Ketika ditemui, Kurtzman mengakui bekerja dengan bintang handalan memberikan tekanan besar buat dirinya.

“Rasa diri ini kerdil apabila bekerja dengan mereka. Proses menghasilkan The Mummy menuntut saya sentiasa melakukan yang terbaik.

“Lebih-lebih lagi apabila bekerja dengan Cruise. Bagaimanapun, saya tidak boleh terlalu layan rasa tekanan itu dan ada masa tertentu otak kena berfikir secara ekstrem barulah pintu kreativiti terbuka lebih luas,” katanya.

Kurtzman cuba menyampaikan keterujaan yang dirasai ketika menonton filem sebegitu sewaktu zaman kecilnya.

“Saya sangat suka idea setiap kali kita melihat Frankenstein, Wolfman atau Drakula, mula-mula rasa takut namun selepas itu kita jadi kasihan.

“Ia adalah satu refleksi asas perasaan manusia dan saya suka dengan idea itu. Begitu juga dengan Puteri Ahmanet, kita simpati namun takut dan itulah yang saya tonjolkan dalam The Mummy,” katanya.

Selain itu, dalam babak kapal dinaiki Nick dan Jenny terhempas, Kurtzman mengambil risiko melakukan aksi payung terjun tanpa menggunakan skrin hijau.

“Ia mengambil cubaan 64 kali untuk kami mendapatkan hasil terbaik.

“Untuk babak ini, saya mahu penonton merasa sendiri bagaimana perasaan sebenar setiap watak. Dalam proses itu, banyak benda baru kami teroka dan berlaku beberapa perubahan,” katanya.

The Mummy mula menggegarkan pawagam tanah air semalam.
ot;1" />
Powered by Blogger.