Berita Terkini
recent

Lamaran mengejut

PELAKON Mawar Rashid, 23, terharu apabila menerima lamaran istimewa daripada kekasihnya Radan Ahmad Faizal Yaacob yang menyusun ratusan kuntum bunga ros menjadi ayat: ‘Will U Marry Me?’

Radan Ahmad Faizal, 31, yang juga dikenali sebagai Raf turut menyusun bunga ros berwarna merah dan putih itu dalam bentuk bulatan sebelum dia melutut sambil memberikan sebentuk cincin kepada Mawar.

Mawar berkata, Raf melamarnya pada 7 Jun lalu tetapi dia hanya berkongsi gambar itu di Instagram semalam.

Mawar yang terkejut dengan lamaran itu berkata, pada hari berkenaan Raf yang juga adik kepada penyanyi dan chef, Datuk Fazley itu mengajaknya keluar berbuka puasa bersama dan memintanya mengenakan pakaian berwarna putih.

"Sebaik tiba di lokasi terbabit, dia meminta saya menutup mata. Saya terkejut apabila dia melamar dan melakukan segala persiapan seorang diri," katanya.

Menurut Mawar, dia tidak menyangka Raf akan melakukan lamaran dengan cara istimewa itu.

"Walaupun saya tahu dia seorang yang romantik, tapi saya tak sangka dia akan melakukan semua itu kerana kami sudah pun berbincang mengenai perkahwinan sebelum itu,” katanya.

Mawar berkata, mereka merancang melangsungkan pernikahan pada hujung tahun ini. Bagaimanapun, belum ada sebarang tarikh ditetapkan.

"Walaupun kami baru berkenalan pada awal tahun ini, saya nampak kesungguhan dan tanggungjawab Raf . Walaupun dia berstatus duda tetapi saya terima dia seadanya," katanya.
Powered by Blogger.