Berita Terkini
recent

Konflik lebih hebat!

Atas sambutan hangat diterima terhadap drama bersiri Pergilah Air Mata yang disiarkan di saluran TV1 awal tahun ini, istimewa buat penonton setianya, empat episod khas bakal ditayangkan sempena Aidilfitri nanti.

Drama hebat lakonan Kamal Adli, Nelydia Senrose, Amar Asyraf, Izreen Azminda dan Reen Rahim itu akan ditayangkan sebanyak empat episod rentetan perjalanan Sabrina (Nelydia) serta Badrul (Kamal) selepas berkahwin.

Berkongsi cabaran mengenai penggambaran drama siri ini, pengarahnya, Jo Yusof mengganggap ia ibarat perhimpunan semula semua pelakonnya.

Jo berkata, meskipun ada cabaran untuk menghasilkan siri empat episod ini, atas kerjasama pelakon ia berjaya diselesaikan dalam tempoh 15 hari penggambaran.

“Setiap drama yang dihasilkan pasti ada cabarannya. Agak sukar untuk mengumpulkan semula pelakon asal.

“Namun, apabila masing-masing mendapat tahu ia bakal diadakan untuk tayangan istimewa, mereka teruja dan memberikan kerjasama.

“Saya anggap ini rezeki kerana selama mengarah drama, jarang karya saya mendapat sambutan sehingga perlu tayangan istimewa,” katanya.

Jo berkata, drama di TV1 jarang sekali mendapat sambutan hangat dan apabila drama ini mendapat sambutan luar biasa, pastinya ia memberi sedikit tekanan dan kegusaran dihatinya.

“Saya bimbang tak dapat memberikan yang terbaik buat penonton. Siri istimewa adalah kesinambungan siri sebelum ini.

“Pastinya penonton mengharapkan sesuatu yang lebih menarik. Saya menggunakan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pengarahan untuk mencantikkan lagi jalan cerita supaya penonton berpuas hati,” katanya.

Jo berkata, tidak banyak yang berubah terhadap jalan cerita siri ini, tetapi setiap watak utama dikembangkan sehingga menimbulkan konflik yang lebih hebat dan mencabar buat setiap pelakon.

“Watak perlu dikembangkan untuk memberi kesan mendalam kepada penonton. Ia bukan mudah dan saya kena perah otak.

“Apa yang pasti, penonton akan lebih teruja untuk menyaksikan kesudahannya yang akan ditayangkan pada Aidilfitri ini.

Pergilah Air Mata istimewa Aidilfitri akan menemui penonton pada hari raya ketiga bermula jam 7 malam di TV1.

Sinopsis

Selepas melalui pelbagai cabaran, perkahwinan Sabrina dan Badrul menemui kebahagiaan. Bagaimanapun, kebahagiaan mereka tidak lama apabila Maria kembali mengganggu.

Maria yang juga kawan baik Sabrina pernah membuat rancangan jahat sehingga Sabrina ditangkap khalwat dengan Iskandar bagi merebut Ikmal.

Malangnya, Sabrina tersalah bilik dan dia ditangkap bersama Badrul. Walaupun rancangan Maria gagal dia yakin Ikmal akan menjadi miliknya.

Namun, apabila Ikmal mengetahui rancangan jahat Maria dia nekad membatalkan perkahwinan mereka.

Maria sakit hati dan mahu memporak-perandakan rumah tangga Sabrina dan Badrul.

Ikmal berusaha memujuk Badrul mengembalikan Sabrina kepadanya semula. Badrul serba salah.

Berjayakah Sabrina dan Ikmal bersatu semula? Bahagiakah rumah tangga Badrul dan Sabrina?
Powered by Blogger.