Berita Terkini
recent

Kisah cef cuba menangi hati isteri

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.

Tidak dinafikan, setiap pasangan yang berkahwin pasti pernah berdepan dugaan dan konflik.

Sama ada kecil atau besar, adalah menjadi tanggungjawab setiap pasangan untuk memastikan keharmonian rumah tangga yang dibina.

Siapa sangka, kadang-kadang masalah rumah tangga yang berpunca daripada perkara remeh akhirnya boleh melarat hingga membawa kepada perceraian.

Ia kerap berlaku kepada pasangan yang sibuk dengan kerjaya masing-masing hingga menggugat mahligai rumah tangga mereka.

Inilah yang diketengahkan dalam filem televisyen (FTV) terbaru berjudul Memori Pajeri Nanas lakonan Alif Satar, Tiz Zaqyah dan Siti Saleha.

FTV terbitan TSAR Asia Sdn Bhd itu mengetengahkan Aidilfitri Mohamed Yunos sebagai pengarahnya.

Menurut Aidilfitri, Memori Pajeri Nanas mengangkat dunia masakan sebagai asas bagi menyuntik kelainan kepada jalan cerita berkenaan.

“Ia mengisahkan perkahwinan dan cinta kepada masakan. Menerusi FTV ini penonton akan dibawa menelusuri kisah perkahwinan seorang cef bernama Armand lakonan Alif yang berdepan masalah dengan isterinya. Bagaimanapun, dia cuba memenangi hati isterinya itu dengan masakan,” katanya.

Lebih menarik, setiap masakan yang dipaparkan membawa mesej tersendiri kepada penonton mengikut jalan ceritanya.

“Dalam cerita ini kami cuba tonjolkan masakan tradisional. Setiap hidangan itu mempunyai cerita di sebaliknya.

“Sebagai contoh, menu ikan bakar sumbat kelapa, walaupun kulitnya di luar itu keras, tetapi isinya dalamnya lembut, itulah analogi kepada sifat isterinya,” katanya.

Menurut Aidilftri, dia bersyukur penggambaran yang dijalankan Mei lalu berjalan lancar, namun ia bukan satu tugas mudah buat dirinya dan barisan pelakon.

Ini kerana mereka perlu menjayakan watak sebagai seorang cef profesional mengikut standard yang ditetapkan.

“Memang setiap pelakon ada skil lakonan yang tersendiri dan berpengalaman luas, tetapi apabila ia membabitkan mengenai dunia cef, saya perlu memberi perhatian yang lebih.

“Cabaran dalam menjayakan watak ini adalah mereka perlu memaparkan watak seorang cef yang betul. Mereka juga diajar bagaimana teknik yang betul untuk memegang pisau.

“Sebab itulah kami menggunakan khidmat dua cef profesional untuk berada di set penggambaran bagi memberi tunjuk ajar. Jadi, mereka akan pantau semua pelakon supaya imej cef itu disampaikan dengan betul,” katanya.

Memori Pajeri Nanas mengisahkan rumah tangga Armand dan Kayla (Tiz Zaqyah) goyah apabila kedua-duanya sibuk dengan kerja.

Keadaan semakin keruh apabila Kayla mula cemburu selepas terdengar perbualan Armand dengan Camelia (Siti Saleha) yang juga bekas teman wanitanya.

Armand kemudian cuba menyelamatkan rumah tangganya dengan meminta isterinya pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama-sama selama 30 hari. Daripada situlah dia cuba memujuk isterinya dengan masakannya.

Naskhah berdurasi selama 90 minit itu bakal ditayangkan menerusi saluran Astro First Eksklusif bermula 20 Julai ini.
Booking.com

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.