Berita Terkini
recent

Keterujaan Ramona Zamzam

NAMA Ramona Zamzam dikenali selepas menyertai pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 bersama Neelofa, Izara Aisha dan Anzalna Nasir.

Meskipun tidak berada di kelompok tiga teratas, namun Ramona berjaya menempatkan diri di dalam industri seni bahkan menjadi antara finalis Dewi Remaja yang awal mengenali dunia lakonan dan bergerak aktif sehingga kini.

Biarpun sudah bergelar isteri sejak dua tahun lalu, Ramona atau Ros Ramina Qadira Mohd Zamzam, 27, tetap meneruskan karier seninya dan terkini, dia dia muncul melalui drama My Sweet Lavender di TV9.


Tidak hanya terhad dengan lakonan di kaca TV, Ramona mengakui teruja menantikan tayangan filem aksi pertamanya, KL Special Force arahan sutradara berbakat besar, Syafiq Yusof.

"Sejak mula terlibat dalam industri, kebanyakan penerbit dan pengarah sering memberi saya karakter gadis lemah lembut dan menangis tapi ada juga watak antagonis.

"Tidak ramai yang berani beri saya watak aksi, mungkin tak nampak saya ni sebenarnya lasak," katanya kepada Media Hiburan.

Ramona yang sudah lama mengimpikan untuk beraksi watak lasak bersyukur apabila impian itu terlaksana selepas Syafiq menawarkan watak antagonis melalui filem KL Special Force.

Berkongsi pengalamannya berlakon dalam filem tersebut, Ramona yang berlakon bersama Fattah Amin, Rosyam Nor, Syamsul Yusof dan Tania Hudson berkata, dia menimba banyak pengalaman manis biarpun terpaksa berdepan dengan kecederaan yang menyakitkan.

Lebih mengujakan pelakon itu, dia berpeluang belajar dan mengenali senjata seperti pistol dan senapang.

Katanya, pengalaman paling manis ialah memegang senjata sambil berlari.

"Bayangkan dengan badan kecil dan senjata yang berat, memang agak mencabar tapi saya rasa sangat seronok. "Syafiq juga bagi peluang saya lakukan babak berlawan dan aksi terjun dari kereta.

"Walaupun saya tak boleh berjalan lima hari sebab kaki cedera tapi saya puas. Kalau boleh saya nak lari daripada berlakon cerita cinta, air mata," jelasnya.

Perlahan karier

Bagaimanapun Ramona berkata, untuk sementara waktu, dia terpaksa menyimpan sementara impiannya itu selepas disahkan hamil.

Tambah Ramona. dia mendapat tahu hamil selepas mengalami perubahan iaitu sentiasa tidur waktu siang dan cepat penat.

"Selera makan pula memang bertukar daripada suka masakan Melayu kepada hidangan barat dan buah-buahan kegemaran suami saya," katanya yang terpaksa menolak tiga tawaran berlakon kerana tidak mahu menyusahkan pihak produksi.

Jelas Ramona lagi, dia tetap akan meneruskan karier lakonan selepas bersalin nanti kerana sudah sebati dengan jiwanya.

"Suami tak halang saya berlakon dan kalau ada rezeki, saya memang nak teruskan karier seni selepas bersalin nanti," katanya.

Ramona dan Rami Alashkar, 29, mendirikan rumah tangga pada 1 Mei 2015 selepas dua tahun bercinta
Powered by Blogger.